Belia di Kelantan digesa bijak mengambil kesempatan dengan menggunakan kemudahan di balai cerap pertama di negeri ini, yang terletak di Kampung Kubang Rawa, Salor, dekat sini, yang mula dibuka awal tahun lalu.

Presiden Persatuan Falak Amatur Kelantan, Prof Dr Mahamarowi Omar berkata, beliau sedikit terkilan apabila tidak ramai belia yang mengunjungi balai itu yang lebih banyak menyaksikan kedatangan pelawat dari luar.

"Banyak aktiviti yang telah dilakukan di sini selepas perasmian awal tahun lalu. Namun, kebanyakan yang hadir dalam aktiviti anjuran persatuan kami adalah komuniti dari negeri lain, berbanding orang Kelantan.

"Melihat senario ini, saya berasa terpanggil untuk menyarankan agar belia kita mengambil peluang daripada aktiviti yang kami anjurkan. Ini kerana, ia adalah pembelajaran percuma untuk ilmu yang sangat bernilai.

"Apa yang menyedihkan, mereka lebih memilih bermain telefon bimbit berbanding mendalami ilmu astronomi," katanya.

Katanya, sempena sambutan ulang tahun yang ke-100 penubuhan International Astronomical Union (IAU), balai cerap itu turut sama menganjurkan aktiviti 100 Hours of Astronomy atau Astronomi 100 jam bermula 10 hingga 14 Januari lalu.

"Kami menerangkan asas astronomi selama 100 jam kepada komuniti di sini," ujar Mahamarowi, 57 tahun, yang juga merupakan seorang pakar bius di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Antara yang mengunjungi balai cerap di Kampung Kubang Rawa, Salor ini ialah pelajar sekolah yang berminat mengetahui lebih banyak mengenai ilmu astronomi moden. Astro AWANI

Katanya, sambutan Astronomi 100 jam itu secara tidak langsung dapat menyemarakkan perkembangan ilmu astronomi, terutamanya di Kelantan.

"Komuniti Kelantan terutama pelajar dan peminat astronomi dapat mempelajari astronomi moden dengan teori dan praktikal melalui pencerapan dan bengkel yang dikendalikan oleh persatuan di sini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, pengenalan tentang sistem suria, bintang dan objek langit adalah perkara yang paling asas untuk diberi penerangan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, Mahamarowi berkata, beliau berbangga apabila seramai 40 pelajar tahfiz dari Salor serta 25 pelajar, ibu bapa dan guru Sekolah Menengah Chetok, Pasir Mas, turut mengambil kesempatan menyertai aktiviti sambutan Astronomi 100 jam tersebut.

"Sedikit sebanyak, ia memberi pendedahan kepada mereka terhadap ilmu astronomi, dengan harapan pelajar ini dapat meneruskan pengajian ilmu astronomi di peringkat yang lebih tinggi," katanya.