Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menafikan laporan sebuah portal berita yang mengatakan penganjuran bazar Ramadan akan diteruskan di Wilayah Persekutuan tahun ini.

Jelas beliau, belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.

"Laporan (portal berita tempatan) ini adalah tidak benar. Tiada keputusan (mengenai bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan)," katanya melalui laman Twitter rasminya pada Rabu.

Beliau sekali lagi menjelaskan sedang memberikan masa beberapa hari kepada pihak berkuasa tempatan di Wilayah Persekutuan untuk mereka memberikan cadangan.

"Pada Jumaat mereka akan memberikan taklimat kepada saya. Keputusan tidak akan diambil secara unilateral (satu pihak). Ia perlu dirunding bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara," jelas beliau lagi.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti pihak yang cuba mengada-adakan cerita dengan menyatakan keputusan sudah dibuat untuk meneruskan bazar Ramadan tahun ini.

"Mereka juga sengaja buat-buat tidak dengar apabila kita nyatakan bazar Ramadan dalam bentuk yang lazim kita lihat sudah tidak boleh diamalkan lagi, amalan baik seperti diperakukan KKM perlu diutamakan bagi semua jenis aktiviti dan perniagaan. Pentadbiran diminta memperinci perkara ini," kata Annuar.