Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini belum mengesan kes jangkitan COVID-19 kali kedua di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan kajian respon antibodi individu yang pernah terdedah COVID-19.

"Setakat ini kita tidak ada bukti yang mengatakan jangkitan itu kali kedua. Ada kemungkinan tak dapat jangkitan kali kedua.

"Ya, ada kemungkinan (jangkitan kali kedua) sebab kita lihat kepada respon antibodi untuk individu yang telah terdedah dengan virus dan kita dapati selepas tiga bulan kajian kita dapati hanya 20 peratus kekal ada antibodi IGG.

"Laporan dari China dan United Kingdom, iaitu selepas 8 minggu antibodi akan berkurangan, tiga bulan menjadi 17 peratus. Kita pula dalam 20 peratus. Jadi kalau 20 peratus IGG ada, besar kemungkinan 80 peratus boleh dijangkiti semula," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Selain itu katanya, dengan respon antibodi pada tahap 20 peratus sahaja maka, keupayaan vaksin perlu dipertingkatkan.

"Kedua, sebab respon IGG hanya 20 peratus ini dengan virus yang aktif ini, mungkin kita tertanya ada ke respon virus yang dilemahkan, digunapakai untuk sistem imuniti kita bagi mengeluarkan IGG sama ada tinggi atau rendah.

"Namun kalau respon vaksin hanya 20 ke 30 peratus, jadi mungkin tidak berkesan vaksin itu. Jadi kita perlu tingkatkann vaksin itu lebih 85 hingga 95 peratus baru berjaya," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, penghasilan vaksin ketika ini berada pada fasa ketiga percubaan klinikal.

"Kita banyak soalan mengenai vaksin, namun sekarang tiada data lagi. Kita masih dalam fasa tiga klinikal percubaan vaksin. Jadi kita tunggu keputusan itu.

"Jadi jangkitan kali kedua belum lagi kita dapati atau isytiharkan namun yang penting kita memantau kes-kes sama ada dapat jangkitan lagi atau tak," tambahnya.