Belum ada panggilan daripada penculik - Pesuruhjaya Polis Sabah

Belum ada panggilan daripada penculik - Pesuruhjaya Polis Sabah
OMAR: Sehingga hari ini, polis belum menerima laporan atau dimaklumkan mengenai panggilan daripada kumpulan penculik.
KOTA KINABALU: Pihak berkuasa atau mana-mana pihak belum menerima sebarang panggilan daripada kumpulan bersenjata yang dilapor menculik 10 nelayan Bajau Laut di perairan Felda Sahabat Lahad Datu, awal pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata sehingga hari ini, polis belum menerima laporan atau dimaklumkan mengenai panggilan daripada kumpulan penculik sama ada oleh pemilik bot yang terlibat atau keluarga mangsa.

"Belum ada lagi (menerima sebarang panggilan daripada kumpulan penculik)," katanya ketika dihubungi Bernama mengenai perkembangan terkini kes itu, hari ini.
Mengenai enam nelayan yang terselamat dalam kejadian itu, Omar berkata polis telah mengambil kenyataan mereka semalam di Balai Polis Cenderawasih, Felda Sahabat Lahad Datu bagi membantu siasatan.

Kesemua nelayan yang terselamat itu masih berada di Cenderawasih dan dua bot nelayan yang terlibat dalam kejadian itu juga masih berlabuh di kawasan perairan Felda Sahabat di bawah pengawasan polis.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi, 10 nelayan berkenaan dilaporkan diculik oleh kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf dari dua bot nelayan di perairan Lahad Datu ketika dalam perjalanan menuju ke Semporna.

Mereka dipercayai dilarikan ke Pulai Sitangkai di Selatan Filipina, kira-kira 15 minit perjalanan dari perairan Tambisan, Lahad Datu.

Kesemua mangsa berumur 17 hingga 60 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan hanya memiliki Dokumen Lepa-Lepa yang dikeluarkan kepada pelaut nomad sebagai pengenalan diri nelayan berkenaan.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor ketika ditanya mengenai kejadian itu, berkata Bukit Aman menunggu perkembangan terkini berhubung kes itu daripada Pesuruhjaya Polis Sabah.

"Siasatan masih berjalan dan kami masih menunggu perkembangan terkini," katanya.

-- BERNAMA

Tag: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, penculik, kumpulan bersenjata, nelayan, bajau laut, lahad datu


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.