Belum ada pengamal Perubatan Tradisional dan Komplemantari (PT&K) yang berdaftar dengan Majlis PT&K pada ketika ini, ujar Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Jelas beliau, ia susulan sehingga kini seksyen dalam Akta PT&K 2016 melibatkan pendaftaran pengamal masih belum dikuatkuasakan.

"Oleh yang demikian, belum ada pengamal PT&K yang berdaftar dengan Majlis PT&K pada ketika ini. Apabila proses pendaftaran bermula, tatacara yang berkaitan akan dimaklumkan oleh pihak Majlis PT&K,"katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Dorell Leiking di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Akta PT&K 2016 ketika ini berada pada fasa pertama penguatkuasaan melibatkan Majlis PT&K iaitu mengenalpasti bidang amalan untuk diiktiraf, mengenalpasti badan pengamal yang ditetapkan dan kuasa menteri untuk membuat peraturan.

"Fasa kedua pula melibatkan penetapan tarikh untuk penguatkuasaan seksyen yang melibatkan pendaftaran pengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf.

"Fasa terakhir ialah penguatkuasaan penuh akta tersebut," jelas Dr Hilmi.

Ujarnya, Majlis PT&K telah ditubuhkan bagi mengawal selia perkhidmatan PT&K di Malaysia bagi mengadakan peruntukan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Perintah Perubatan Tradisional dan Komplementari (Bidang Amalan Diiktiraf) 2017 telah diwartakan dan berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2017.

"Bidang amalan PT&K yang diiktiraf adalah termasuk perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam," kata beliau lagi.

Justeru kementeriannya dan Majlis PT&K peka dan prihatin berkenaan pengamal perubatan tradisional dan pribumi yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Melalui penguatkuasaan akta secara berfasa, kementerian itu akan berusaha mengambil pendekatan sewajarnya untuk pengamal perubatan berkenaan.