Belum ada permohonan jadikan vape cara rawatan berhenti rokok

Belum ada permohonan jadikan vape cara rawatan berhenti rokok
Dr Lee berkata, kementerian belum membuat keputusan berkenaan vape, sama ada mahu terus larang sepenuhnya atau membenarkan vaping tanpa nikotin atau dengan kadar nikotin rendah. - Astro AWANI
IPOH: Setakat ini belum ada sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menjadikan vape atau rokok elektronik (e-rokok) sebagai salah satu cara rawatan untuk berhenti merokok, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Setakat ini, Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan hanya meluluskan dua cara sahaja untuk berhenti merokok iaitu menggunakan gula-gula getah atau chewing gum dan patch.

"Yang vaping, alat vaping, e-cigarette, tidak ada alat tersebut yang telah diluluskan. Atau, tidak ada permohonan pun untuk ia dijadikan satu alat atau ubat untuk berhenti merokok.

"Nikotin terus dikawal di bawah Akta Racun. Jadi, mereka yang jual cecair vape, kalau ada kandungan nikotin, ini satu kesalahan di bawah Akta Racun dan boleh diambil tindakan.

"Dan, kalau kebanyakan cecair vape yang kita ada, mengikut pengalaman, 90 peratus dalam kalangan cecair vape itu ada mengandungi nikotin," kata Dr Lee.

Beliau ditemui selepas melancarkan program ‘Walk The Talk’ sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2019 anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, hari ini.

Dr Lee berkata, kementerian belum membuat keputusan berkenaan vape, sama ada mahu terus larang sepenuhnya atau membenarkan vaping tanpa nikotin atau dengan kadar nikotin rendah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, vape tidak selamat 100 peratus walaupun ada fahaman kononnya ia kurang berbahaya berbanding rokok.

Menurutnya, kerajaan bimbang kerana ramai remaja sekarang bermula dengan vape dan menganggap vaping sebagai trend masa kini yang akhirnya menyebabkan ketagihan nikotin di dalam vape.