Belum ada rakyat Malaysia yang terkandas di Amerika Syarikat setakat ini sehingga memerlukan proses repatriasi oleh kerajaan Malaysia, ujar Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Azmil Mohd Zabidi.

Jelasnya, ia berikutan sempadan negara ini masih dibuka dan rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air masih boleh berbuat demikian.

"Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kes terpencil sebelum ini di mana pihak Kedutaan mendapat permohonan bantuan daripada rakyat Malaysia yang terkandas akibat masalah prosedur atau penangguhan jadual penerbangan.

"Contohnya, kes-kes yang melibatkan kru dan pelancong warga Malaysia yang terkandas di atas kapal-kapal persiaran seperti Grand Princess Cruise Ship dan Coral Princess Cruise Ship yang terpaksa berlabuh di perairan Amerika Syarikat akibat kes penularan COVID-19 di atas kapal-kapal tersebut," katanya semasa dihubungi pada Khamis.

Tambahnya, pihak Kedutaan sentiasa menghubungi pihak yang terlibat termasuk syarikat-syarikat kapal persiaran bagi memastikan keselamatan semua kru atau penumpang warga Malaysia selain memohon supaya mereka dapat dihantar pulang dengan selamat dan segera mungkin.

"Hasil kerjasama yang erat di antara pihak Kedutaan dengan semua pihak yang terlibat termasuk pihak pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York dan Los Angeles, semua rakyat Malaysia yang menghadapi kesukaran sebelum ini telah berjaya pulang ke Malaysia dengan selamat," ujar beliau.

Pihak Kedutaan juga sentiasa melakukan pemantauan dan mendapati situasi rakyat Malaysia di Amerika Syarikat adalah stabil, walaupun kadar peningkatan kes COVID di negara ini agak ketara.

"Beberapa peringatan dan nasihat telah dikeluarkan kepada rakyat Malaysia di negara ini agar sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa memakai topeng muka ketika berada di luar.

"Pihak Kedutaan juga mendapati bekalan bahan-bahan perlindungan seperti topeng muka dan hand sanitizer kini boleh didapati dengan mudah di pasaran berbanding dengan beberapa bulan yang lepas," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara norma-norma baharu yang dijalankan warga kedutaan ialah menjalankan semua mesyuarat-mesyuarat dengan pihak Amerika Syarikat secara maya, bekerja dari rumah sekiranya perlu, perkhidmatan konsular seperti pembaharuan pasport dan sebagainya dibuat melalui temujanji dan penjarakan sosial bagi semua perkhidmatan konsular di kaunter perkhidmatan.

"Pihak Kedutaan juga telah membatalkan aktiviti-aktiviti diplomasi awam yang melibatkan kumpulan besar atau orang awam seperti majlis-majlis resepsi, sehingga situasi COVID-19 di negara ini terkawal," katanya lagi.

Selain itu kata beliau, Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan undang-undang bagi membolehkan semua orang di negara ini menjalani ujian COVID-19 secara percuma, sekiranya perlu, tidak kira sama ada mereka merupakan warga negara ataupun warga asing.

Langkah itu sedikit sebanyak membantu mencegah penyebaran COVID-19, terutama bagi warga asing yang mungkin tidak mempunyai insuran perubatan bagi menjalani ujian tersebut.

"Selain itu, sempadan negara Amerika Syarikat masih terbuka dan sektor penerbangan antarabangsa masih beroperasi di kebanyakan lapangan terbang utama di negara ini.

"Oleh itu, tiada sekatan bagi warga asing yang sihat dan bebas dari COVID-19 untuk keluar atau pulang ke negara asal sekiranya perlu," ujarnya.