Belum ada tangkapan dijalankan berikutan kematian Girang, gajah pygmy Borneo yang ditemui mati keracunan di sebuah ladang di Sukau, pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga, berkata buat masa ini pihaknya masih menunggu laporan kimia kejadian terbabit.

“Belum ada sebarang tangkapan dilakukan dalam kes terbabit dan laporan kimia kejadian itu juga belum diperolehi setakat ini.

“Dalam pada itu, bangkai gajah terbabit juga sudah dikubur di lokasi ia ditemui selepas bedah siasat dijalankan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp, pada Khamis.

BACA: Lagi gajah pygmy ditemui mati

BACA: Kematian Girang: Analisis racun dijangka ambil masa lama

Terdahulu, gajah dikenali sebagai Girang dan memiliki kolar setalit itu ditemui mati dalam parit di tepi jalan ladang berkenaan.

Hasil bedah siasat mendapati, tiada sebarang kecederaan luar dan kesan peluru ditemui pada badan gajah terbabit.

Namun, Girang dilaporkan mengalami kegagalan organ dipercayai akibat keracunan.