Kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke dalam sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, ketika ini, perkara itu masih dalam pertimbangan.

Justeru katanya, keputusan sama ada melaksanakan semula PPSMI hanya akan ditentukan melalui jemaah menteri Kabinet.

“Sebenarnya kita belum buat keputusan. Apa yang berlaku ialah saya memberi penerangan sahaja pada pegawai kementerian. Namun entah macam mana bocor dan dilapor seolah-olah kerajaan sudah putuskan.

"Sebenarnya kerajaan masih menimbangkan. Adakalanya kerajaan bersetuju PPSMI, namun ada tentangan dan tangguh. Kali ini kita akan buat keputusan dengan pendapat majoriti Kabinet,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat dan Aspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, ketika ini jelasnya Dual Language Programme (DLP) masih digunakan di sekolah bagi menggantikan PPSMI yang dimansuhkan sebelum ini.

Dalam pada itu, kali ini katanya, kerajaan mahu memperkenalkan cara mengajar baharu melalui penyediaan pengajaran oleh pakar-pakar sama ada dari dalam atau luar negara.

“Mereka akan menyediakan pengajaran ini dan merakamkan thumbdrive atau diskdrive dan ini akan ditayang di dalam bilik darjah berkenaan dengan subjek yang hendak disampaikan. Guru akan memimpin pelajar dan mengajar ikut video yang telah disediakan,” jelas beliau lagi.

Tambahnya, pelajar tidak dapat merasai pengalaman dan pengetahuan mengikut standard tertentu jika negara masih berada pada cara lama sahaja iaitu pengajaran guru di dalam bilik darjah.

“Pengajaran berbagai bahasa di mana sesiapa sahaja boleh belajar. Pakar bahasa akan sediakan pengajaran ikut darjah dan kita percaya ia akan mendedahkan murid kepada satu standard yang diperkenalkan pakar bahasa,” tambah beliau.

Perdana Menteri juga menegaskan kepentingan penggunaan bahasa Inggeris dalam sains terutamanya selain menguasai subjek berkenaan.

Katanya lagi, sesebuah negara akan menjadi mundur jika tidak dapat menguasai Sains dan Matematik dengan baik.

“Saya mengakui bahawa saya yang dahulu menyebabkan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Masih lagi berpendapat bahawa tanpa menggunakan bahasa Inggeris kita akan ketinggalan dalam bidang penting ini,” kata beliau.

BACA: Dasar, hala tuju KPM selaras agenda Wawasan Kemakmuran Bersama