Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum memuktamad dan mengeluarkan arahan menutup Klinik 1Malaysia (K1M) yang telah dikenal pasti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ini memandangkan proses kajian semula masih perlu dimurnikan sebelum dimuktamadkan oleh pengurusan tertinggi KKM.

"Keputusan akan dibuat dalam masa terdekat mengenai perkara ini.

"KKM memberi jaminan bahawa proses penutupan klinik yang berkaitan di bawah penjenamaan semula akan dijalankan dengan tertib bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan kesihatan yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai maklumat balas terhadap gambar notis pemberitahuan penutupan K1M di sekitar Lembah Klang yang tular di media sosial sejak pagi tadi.

Hantaran (posting) tular itu menunjukkan notis penamatan K1M di sekitar Lembah Klang melibatkan beberapa tarikh pada Ogos dan September depan.

Antaranya melibatkan K1M di Puchong Jaya, Damansara Damai, Kelana Jaya dan Seksyen 24, Shah Alam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata seperti diumumkan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini, kementerian sememangnya dalam proses mengkaji semula K1M di mana ianya akan dijenamakan semula kepada Klinik Komuniti.

Dalam proses semakan semula ini, KKM akan meneliti penutupan beberapa Klinik Komuniti yang memenuhi syarat-syarat tertentu antaranya jumlah kedatangan pesakit yang rendah, keberadaan fasiliti kesihatan lain yang berdekatan serta sewa atau kos operasi yang tinggi.

"KKM akan turut meneliti untuk menaik taraf beberapa Klinik Komunti ini kepada Klinik Kesihatan dan menempatkan lebih banyak Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi serta Pembantu Pegawai Farmasi ke Klinik Komuniti secara berperingkat," katanya.

Sejumlah 347 buah K1M telah beroperasi di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan kepada setiap golongan masyarakat setempat. -- Bernama