Memandangkan hartanah tidak terjual terus meningkat, peserta industri meminta kerajaan membenarkan pinjaman sebanyak 100 peratus untuk pembeli kali pertama hartanah berharga di bawah RM500,000.

Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS) berkata, berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), hartanah kediaman tidak terjual sebanyak 32,810 unit bernilai RM19.76 bilion pada separuh pertama 2019 (H1 2019).

Harga rumah daripada RM200,001 hingga RM300,000 membentuk sebahagian besar daripada hartanah tidak terjual, terdiri daripada 22.33 peratus daripada jumlah unit tidak terjual.

"Status hartanah tidak terjual secara keseluruhan naik kepada 59,473 unit, bernilai RM41.732 bilion, pada H1 2019, peningkatan sebanyak 259 peratus daripada hanya 16,576 unit pada 2015," kata PEPS dalam kenyataan hari ini.

PEPS turut meminta kerajaan membenarkan lebih banyak dana daripada Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan bagi pembelian rumah mampu milik.

"Kerajaan juga perlu mengkaji semula dan menjadikan mekanisme kuota Bumiputera yang lebih jelas, yang akan melepaskan kuota Bumiputera bagi unit tidak terjual," katanya.

Mengenai isu rumah mampu milik, persatuan itu menyarankan penubuhan Perbadanan Berpusat Nasional mengenai Rumah Mampu Milik, mengikut model Lembaga Perumahan dan Pembangunan Singapura.

Antara lain, kata PEPS, perbadanan itu akan merancang, menyelaras dan melaksanakan pelan tindakan kerajaan dan pelan mengenai rumah mampu milik di seluruh negara.

Ia akan turut menyerap syarikat kerajaan sedia ada yang terlibat dalam rumah mampu milik seperti PR1MA.

PEPS berkata, terdapat kekurangan rumah mampu milik di negara ini, disebabkan ketidaksesuaian dari segi lokasi, harga dan jenis rumah serta pertumbuhan pendapatan yang perlahan berbanding kenaikan harga rumah.

"Garis panduan perancangan yang jelas mengenai rumah mampu milik perlu untuk mendapatkan semua pihak berkuasa tempatan mewartakan pelan tempatan dan menetapkan kawasan untuk rumah mampu milik.

"Dengan garis panduan perancangan yang jelas, kerenah birokrasi dan rasuah dapat dikurangkan dan ini akan membantu mengurangkan harga rumah," katanya.

PEPS juga mahu kerajaan mengkaji semula Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 yang bertujuan mencegah spekulasi dan mengawal harga rumah.

"Berdasarkan pasaran hartanah yang kurang menggalakkan dan lebihan penawaran yang tinggi, semakan semula kadar RPGT ini memberi impak negatif kepada pasaran hartanah dan menjadi beban kepada pelabur," katanya.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan kadar RPGT naik daripada sifar peratus kepada lima peratus untuk individu yang menjual hartanah dan 10 peratus untuk syarikat dan bukan warganegara. - BERNAMA