Kesemua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang akan dibuka semula 31 Mac ini.

Ia adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi menangani pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim pada 19 Mac lalu.

Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan dalam satu kenyataan media berkata masyuarat itu juga telah memutuskan untuk menghentikan Ops Sungai Kim Kim dan Pusat Kawalan Operasi Bencana.

Katanya lagi, kerja pembersihan sekolah juga akan dilakukan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penglibatan ibu bapa dan komuniti (PIBK), agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Kerja pembersihan akan dibuat tanpa melibatkan murid sebelum sekolah dibuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.

Kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang mula ditutup sejak gelombang kedua pada 13 Mac akibat pencemaran dari sisa bahan buangan di Sungai Kim Kim.