Sembilan suspek kes pencemaran bahan buangan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, ditahan polis.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada sidang media selepas istiadat penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Katanya, dua daripada suspek ditahan di Johor, manakala tujuh lagi ditahan di luar Johor.

Kesemua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Operasi memburu suspek masih dijalankan dan maklumat terperinci tidak boleh diberikan kerana akan mengganggu siasatan.

"Polis dah dapat perintah reman enam hari mulai hari ini hingga 23 haribulan. Ada yang kita dah dapat reman, dan ada yang masih dalam proses dapatkan reman," kata Mohamad Fuzi.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan kerana menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan dan di bawah Seksyen 284 kerana berkelakuan cuai berkenaan benda beracun, serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah.