Hujan boleh membantu menambah baik kualiti udara di sekitar Pasir Gudang yang tercemar akibat pencemaran bahan sisa toksik, namun orang awam dinasihatkan supaya tidak terdedah dengan cuaca tersebut.

Dr Norazian Mohamed Noor dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata kes pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang tidak boleh disamakan dengan situasi jerebu, yang mana dalam kes pencemaran sisa toksik, orang awam memang disaran mengelak daripada terkena hujan pertama.

Oleh itu katanya, langkah terbaik adalah penduduk setempat boleh mengambil langkah yang sama kerana partikel-partikel bahan yang berada di dalam udara, akibat pencemaran kimia, mungkin akan turun bersama air hujan dan boleh memudaratkan kesihatan.

“Kita kena kaji dulu, ada tak kandungan seperti hidrokarbon atau kandungan-kandungan lain (di dalam udara)?" kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar itu.

“Partikel itu pun kita tak tahu. Kalau ya pun dalam bentuk partikel, kita kena kaji partikel udara itu untuk mengetahui apakah bahan dalam partikel itu.

“Secara keseluruhan, memang kalau kita ambil kualiti udara di tempat kejadian (Pasir Gudang), kita perlu sekat partikel menggunakan alat yang tertentu iaitu kita bawa ke makmal, dan kita kaji apa bahan-bahan yang ada dalam partikel tersebut,” katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat.

Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, hujan dijangka turun di beberapa kawasan di Johor pada Sabtu dan Ahad ini, dan kawasan terdekat termasuk Pasir Gudang juga mungkin berdepan cuaca sama.

Mengulas lanjut, Norazian berkata, sekiranya hujan benar-benar turun di Pasir Gudang seperti yang diramalkan, apa yang perlu dilakukan oleh orang awam adalah sentiasa membawa payung ketika berada di luar rumah.

“Nasihat saya untuk hujan yang pertama, ataupun yang pertama kali itu, demi keselamatan, sentiasa gunakan payung. Payung itu memang nampak remeh tetapi sebenarnya ia membantu.

“Dan saya jangkakan, sekiranya sudah beberapa hari hujan lebat di kawasan tersebut, InsyaAllah (partikel), kandungan-kandungan gas ataupun bau akan lebih larut, ataupun lebih cair (dan menjadi) kurang kuat daripada sekarang,” katanya.