Tutup

Bencana Kim Kim: Pemantauan pastikan pembuangan sisa kimia tidak berulang

Bencana Kim Kim: Pemantauan pastikan pembuangan sisa kimia tidak berulang
Kerajaan Johor akan membuat pemantauan secara terperinci di seluruh negeri ini bagi memastikan tiada lagi pembuangan sisa bahan kimia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan membuat pemantauan secara terperinci di seluruh negeri ini bagi memastikan tiada lagi pembuangan sisa bahan kimia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Ketika memberi jaminan tersebut, Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata setakat ini, beberapa tempat sudah dikenal pasti sebagai tempat pembuangan sisa kimia.

Namun, beliau tidak menyatakan jumlah dan jenis tempat pembuangan yang dikenal pasti itu.

Beliau berkata bagi memastikan kejadian pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim tidak berulang, pihaknya pada masa sama akan mendirikan pondok keselamatan tetap di kawasan terbabit untuk memantau keadaan pada setiap masa.
"Pondok ini akan dipantau pihak berkuasa tempatan dengan dua anggota keselamatan yang bertukar syif, ditugaskan untuk menjaga kawasan tersebut.

"Langkah-langkah ini akan dibuat selepas 20 Mac, setelah kontraktor pembersihan selesai melakukan tugas mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sungai Kim Kim di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata sebahagian sisa kimia yang telah dikumpulkan dihantar ke sebuah kilang di Jalan Tembaga, Pasir Gudang untuk dibakar manakala selebihnya akan dibawa ke Bukit Pelanduk, Port Dickson untuk dilupuskan.

"Jadi bermakna, kerja-kerja pembersihan sudah pun selesai hari ini namun kita ada masa tiga hari lagi (baki tempoh pembersihan). Oleh itu, kontraktor akan kekal berada di kawasan sehingga 20 Mac untuk membuat pemantauan susulan," katanya.

Mengenai pembukaan 111 buah sekolah yang ditutup ekoran insiden pencemaran tersebut, Osman berkata jawatankuasa pengurusan bencana telah adakan mesyuarat untuk mendapatkan laporan kualiti udara di sekolah-sekolah terlibat.

"Laporan itu kemudian akan diserahkan kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada Isnin untuk menentukan tarikh sekolah dibuka semula," katanya.

Sementara itu, selepas melawat lokasi pembersihan tersebut, Osman mengesahkan indeks kualiti udara mencatat 0 PPP (bahagian setiap juta), sekali gus menunjukkan ia berada di tahap normal.

"Ia disahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ketika saya bersama mereka (di lokasi pertama sisa kimia dijumpai)," katanya.

Osman berkata perkembangan itu menunjukkan satu petanda yang positif.

"Saya mengucapkan terima kasih dan berpuas hati dengan penglibatan semua pihak dalam menangani insiden ini," katanya.

-- BERNAMA





Tag: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Menteri Besar, Osman Sapian, pemantauan terperinci, Menteri Besar Datuk Osman Sapian, bencana kim kim, Sungai Kim Kim



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.