Benda panjang yang disangka tali di bawah katil rupanya seekor ular tedung selar.

Ular tedung selar sepanjang lima meter itu dikatakan memasuki rumah seorang penduduk di Kampung Sungai Putat, Pendang, Kedah.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezzani, pihaknya menerima panggilan jam 1 petang berhubung kehadiran ular berkenaan.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya yang diketuai Pegawai Bomba Zaidi Mohd Zuki tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Katanya, setibanya di lokasi didapati reptilia itu berada di bawah katil di dalam sebuah bilik.

Sebaik menggeledah bilik berkenaan, anggotanya mendapati ular itu masih berada di bawah katil.

Muhammad Ezzat berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular berkenaan menggunakan peralatan termasuk penjerut.

"Setakat ini penangkapan ular ni adalah paling panjang sepanjang tahun ini di daerah Pendang. Dia (ular itu) ada bertindak agresif sebab dia mendapat ancaman daripada bila dia berada di bawah katil itu.

"Dengan ketangkasan anggota daripada balai saya, berjaya juga untuk menagkapnya," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Ular terbabit akhirnya berjaya ditangkap selepas tiga anggota bomba cuba mengumpan ular itu dari kepala dan belakang ekornya supaya ia keluar dari situ.

Katanya Muhammad Ezzat lagi, sepanjang tahun ini, pihaknya menerima banyak kes berkaitan ancaman haiwan berbisa dan sebanyak 50 kes tangkapan ular dilaporkan di daerah itu.

Antara ular paling banyak ditangkap adalah spesis tedung senduk.