Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu mengesahkan telah menahan Bendahari Armada Parti Bersatu, Rafiq Hakim Razali bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang tunai sebanyak RM250,000 yang disimpan di dalam peti besi di rumah bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi Astro AWANI berkata, Rafiq Hakim ditahan pada petang Selasa selepas siasatan pihaknya mengesyaki berlakunya penyelewengan dalam akaun sayap pemuda parti Bersatu itu.

Beliau memaklumkan perintah reman ke atas Rafiq Hakim selama lima hari sehingga Ahad ini dikeluarkan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini di hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Ingin saya jelaskan di sini bahawa penahanan ini tidak bermotifkan politik sebaliknya ia dibuat berdasarkan siasatan kita sepenuhnya.

"Tiada motif politik tetapi kita tahan (Rafiq Hakim) susulan kes yang sedang kita siasat," katanya.

Justeru itu, Ahmad Khusairi meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan mempolitikkan penahanan itu.

Kehilangan wang itu diketahui selepas Syed Saddiq membuat laporan polis di Balai Polis Sg Way.

Wang itu dikatakan disimpan di dalam peti besi di rumahnya di Petaling Jaya, pada 29 Mac lalu.

Dalam laporan tersebut, Ahli Parlimen Muar itu turut memaklumkan beliau menyedari wang tersebut hilang daripada peti besi berkenaan pada kira-kira pukul 7 malam, 28 Mac lalu.

Menurut laporan polis itu juga, Syed Saddiq berkata peti besi miliknya itu telah ditetapkan kod rahsia dan hanya individu tertentu yang tahu di mana beliau menyimpannya.