Bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dinaikkan di Istana Abdulaziz di sini tepat 12 tengah malam.

Istiadat menaikkan bendera itu disempurnakan oleh Sarjan Ahmad Rashidi Bakri dan Koperal Hakizol Othman daripada Kompeni Ke-4 Polis Tentera Diraja (Mekanize), Kem Batu 10 Kuantan.

Terdahulu, bendera peribadi baginda selaku Sultan Pahang diturunkan pada 11.45 malam.

Istiadat berkenaan disempurnakan seorang pegawai dan 14 anggota daripada Provos Tentera Udara Diraja Malaysia, Kuantan.

Doa selamat dibacakan oleh Mufti Pahang Datuk Dr Seri Dr Abdul Rahman Osman sejurus selesai istiadat.

Sultan Abdullah dijadualkan berangkat ke ibu negara awal pagi nanti bagi menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) bersempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 6 Jan selepas dilantik pada 13 Dis 2016.

-- BERNAMA