Pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 37 atau lebih dikenali sebagai Benjy bersama rakannya, Raja Shariff Hidayatullah Raja Shariffudin, 27, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengedar dadah.

Benjy dan Raja Shariff didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 1.32 kilogram.

Dalam kejadian pada 27 Mac, mereka ditahan dalam satu sekatan jalan raya di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Pagoh-Muar jam 1.40 pagi.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Kedua-duanya yang memakai pakaian lokap polis kemudian mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Syafiq Mustaza.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguambela Aqeeb Lizalman Nordin Zamery dan Farhan Read.

Mohd Syafiq kemudian menetapkan 28 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.