Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta supaya membentuk satu penguat kuasa atau pasukan khas bagi berurusan dengan golongan perokok yang didapati masih berdegil melanggar segala peruntukkan undang-undang yang ada berkaitan dengan larangan merokok dalam negara kita.

Ini susulan insiden yang berlaku di Shah Alam, Selangor baru-baru ini yang menyaksikan seorang pekerja restoran nasi kandar ditampar pelanggan selepas ditegur kerana menghisap rokok.

Kes terbabit akan disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan [Akta 574] kerana dengan sengaja menyebabkan cedera. Insiden sebegini tidak seharusnya dipandang ringan oleh semua pihak kerana ianya ibarat mencabar proses undang – undang yang telah dikuatkuasakan dalam negara kita khusus yang berkaitan dengan larangan merokok.

Sekiranya insiden sebegini tidak diatasi dengan baik, segala usaha murni pihak kerajaan untuk membendung sikap merokok yang bahaya terhadap kesihatan diri perokok serta orang yang terpaksa menghidu asap rokok dalam negara kita akan menjadi sia – sia kerana pihak pemilik premis akan menjadi ketakutan untuk mengambil sebarang langkah bagi melarang pelanggan mereka daripada merokok dalam kawasan milik mereka yang telah diistiharkan sebagai kawasan larangan merokok oleh pihak kerajaan.

Pada Oktober 2018, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara yang telah pun berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 yang lalu.

Selain daripada restoran, terdapat banyak lagi kawasan larangan merokok di Malaysia seperti yang telah diperuntukkan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Akta Makanan 1983 [Akta 281] seperti dalam mana-mana kawasan taman awam kecuali tempat letak kereta awam terbuka, dalam mana-mana kawasan awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan.

Kawasan lain adalah seperti taman asuhan kanak-kanak, premis kerajaan, menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri, tempat hiburan atau teater, kecuali mana-mana disko, kelab malam atau kasino, di dalam kawasan hospital atau klinik, lif atau tandas awam, tempat makan atau kedai berhawa dingin, kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam, tempat kerja berhawa dingin dengan suatu sistem hawa dingin berpusat, bas sekolah, lapangan terbang, kawasan kafe internet, kawasan khidmat negara, kawasan perpustakaan, bangunan atau tempat permainan kanak-kanak atau taman, di kawasan kompleks membeli belah, di kawasan stesen minyak, kawasan yang digunakan untuk aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman, di kawasan stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gymnasium, di kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi, dan di mana - mana tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan dalam bangunan.

Kawasan larangan merokok dalam negara kita adalah luas. Pihak kerajaan juga ada menyatakan hasratnya untuk memperluaskan kawasan larangan merokok ini dari masa ke semasa di masa depan. Sekiranya kawasan larangan merokok ini diperluaskan, maka pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengalami kesukaran khususnya dalam melakukan proses pemantauan dan penguatkuasaan peraturan yang dibuat oleh mereka.

Memandangkan terdapat pelbagai risiko dalam proses pemantauan dan penguatkuasaan undang – undang yang berkaitan dengan kawasan larangan merokok ini, adalah penting supaya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil satu langkah proaktif dengan mewujudkan sebuah badan penguakuasa khas khusus dalam melakukan proses pemantauan dan penguatkuasaan berkaitan dengan larangan merokok dalam negara kita.

Dengan adanya satu badan penguatkuasa khas dalam mengendalikan perkara yang berkaitan dengan larangan merokok ini, proses penguatkuasaan undang – undang dapat dilakukan dengan lebih berkesan lagi.

Para pemilik premis kawasan larangan merokok juga tidak akan berasa takut serta bimbang untuk melakukan tugas mereka bagi melarang pelanggan mereka untuk merokok kerana bantuan dapat dihulurkan dengan segera sekiranya ia diperlukan. Pada masa kini, masih tidak terdapat satu badan penguatkuasa yang jelas khusus dalam mengendalikan isu larangan merokok ini. Seksyen 2, Akta Makanan 1983 [Akta 281] hanya mentafsirkan penguatkuasa atau pegawai yang diberi kuasa sebagai mana - mana pegawai kesihatan perubatan atau mana - mana penolong pegawai kesihatan persekitaran dari Kementerian Kesihatan atau dari mana - mana pihak berkuasa tempatan, atau mana - mana orang berkelayakan yang sesuai, yang dilantik oleh menteri.

Pembentukkan sebuah badan penguatkuasa khas dalam perkara ini adalah penting supaya semua pihak memandang serius isu larangan merokok ini serta tidak berterusan melanggar segala peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan.

_____________________________________________________________________________________

* Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI