Akibat tidak berpuas hati hubungan sulitnya bersama isteri orang terbongkar, seorang lelaki naik berang lalu bertindak membakar rumah suami kekasihnya itu.

Kejadian tersebut berlaku pada jam 5.50 pagi Isnin di Taman Desa Aman Sungai Lalang, Sungai Petani.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati dan cuba menutup tembelang hubungannya bersama isteri mangsa yang dipercayai telah diketahui keluarga mangsa.

Mangsa, yang takut dengan ugutan suspek, telah mengarahkan isteri dan anak-anaknya pulang ke kampung di Baling, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah, memaklumkan suspek dan isteri mangsa mempunyai hubungan intim kerana kedua-dua mereka sering bertemu untuk mengambil dadah bersama.

Hasil siasatan Jabatan Forensik Polis, menjumpai satu besi pengumpil pintu ditemui di dalam rumah tersebut.

Turut ditemui ialah satu penutup botol berbau petrol.

Menurut Adzli, siasatan lanjut akan terus dijalankan oleh pihak forensik bomba bagi mencari punca kebakaran.

Suspek ditahan pada kira-kira jam 10 pagi di kediamannya, dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api), Seksyen 427 Kanun Keseksaan (melakukan khianat) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).