Mana-mana individu yang berkahwin dengan bukan warganegara Malaysia digesa mendaftar perkahwinan mereka bagi mengelak kesulitan dihadapi anak pasangan itu kelak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menjelaskan, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal kanak-kanak bertaraf bukan warganegara.

“Saya faham dengan masalah dihadapi melibatkan kanak-kanak tanpa dokumen. Bebanan terhadap pembuktian anak-anak ini terletak di bahu ibu bapa tersebut, bukan di bahu kerajaan. Masalah yang berlaku untuk makluman banyak perkahwinan tidak didaftarkan. Bila mana perkahwinan itu tidak didaftarkan anak yang dilahirkan itulah yang akan menanggung masalahnya.

“Sebab itu saya menyeru rakyat Malaysia baik lelaki atau perempuan berani kahwin, berani daftar, berani tanggung. Sebab implikasinya kepada anak kita nanti,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Dewan Rakyat.

Sekiranya ibu bapa kanak-kanak tersebut lewat mendaftar perkahwinan mereka selepas kelahiran kanak-kanak tersebut, permohonan kewarganeraan boleh dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Perkara 15A.

Ia akan dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan.

“Walaupun isu ini banyak berlaku, di mana perkahwinan itu anak lahir dulu. Walupun keadaan itu berlaku, kerajaan masih lagi menerima permohonan dan kita masukkan perkara ini di bawah Perkara 15 A,” ujarnya.

Tambahnya, kelahiran di Malaysia tidak menyebabkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

“Berhubung dengan rekod individu tanpa kewarganegaraan adalah dimaklumkan bahawan kementerian melalui JPN hanya merekodkan status seseorang individu sebagai warganegara atau bukan warganegara berdasarkan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa individu sewaktu kelahiran berlaku.

“Justeru, tiada individu yang direkodkan sebagai stateless di Malaysia,” ujarnya.