Bergaduh dengan jiran, warga emas maut dirodok sudu

Bergaduh dengan jiran, warga emas maut dirodok sudu
Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk akibat ditikam dengan sudu besi.
IPOH: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dengan kesan luka di dada dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah rumah kedai di Jalan Theatre, di sini pada Sabtu.

Mangsa, Chai Ah Kin, 83 tahun, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk akibat ditikam dengan sudu besi oleh suspek lelaki berusia 30-an.

Dalam kejadian itu, suspek turut mengalami cedera parah setelah ditetak oleh seorang lagi lelaki yang mahu menyelamatkan seorang wanita yang merupakan ibunya daripada dicekik.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman, pergaduhan itu melibatkan empat individu, di mana suspek dan wanita berkenaan menyewa bilik di premis tersebut.

"Mangsa dan suspek telah bergaduh dan berlaku pergelutan antara mereka di tangga premis itu. Wanita berkenaan cuba meleraikan pergaduhan antara mereka berdua.

"Bagaimanapun suspek bertindak agresif dengan mencekik wanita berkenaan. Perbuatan itu dilihat oleh anak wanita tersebut dan dia cuba selamatkan ibunya dengan menetak suspek dengan pisau," katanya kepada pemberita.

Ujarnya, keadaan itu menyebabkan suspek cedera parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan pergaduhan itu disyaki akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang baru menyewa sejak enam bulan lalu.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Polis turut menahan anak wanita terbabit untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.