Tutup

Bergaduh ketika mahu ke tandas, warga Syria parah ditikam pekerja rumah tumpangan

Bergaduh ketika mahu ke tandas, warga Syria parah ditikam pekerja rumah tumpangan
Inilah bangunan rumah kedai yang dijadikan rumah tumpangan di mana seorang lelaki warga Syria parah ditikam. - Gambar Astro AWANI
GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga Syria parah ditikam pekerja sebuah rumah tumpangan dalam pergaduhan di hadapan premis itu, Lorong Prangin di Georgetown pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, dalam kejadian pukul  1.25 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun itu  cedera di bahagian kepala, perut dan kaki kiri akibat ditikam pekerja rumah tumpangan berusia 69 tahun.
Menurut Soffian, mangsa menyewa bilik di bangunan rumah kedai yang dijadikan rumah tumpangan tersebut sejak lima bulan lepas manakala lelaki warga emas berkenaan bekerja di situ kira-kira lapan bulan lalu.

Kedua-duanya berada dibawah pengaruh alkohol dan pergaduhan tercetus selepas mereka terlanggar antara satu sama lain ketika mahu ke tandas.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi yang menyewa di bilik itu, kejadian berlaku apabila mereka berlanggar semasa berjalan melalui laluan ke tandas arah bawah rumah tumpangan itu.

"Berlaku pertengkaran dan tolak menolak sehingga suspek mengambil pisau serta menikam mangsa beberapa kali" katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Siasatan turut mendapati dua lelaki itu sering  bertengkar mulut sebelum ini kerana mangsa selalu balik lewat iaitu sehingga awal pagi dan ia telah mengganggu suspek untuk berehat di rumah tumpangan tersebut.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Susulan itu, polis telah menahan lelaki warga emas itu di lokasi kejadian selain merampas pisau yang di gunakannya untuk menikam mangsa.

Sementara itu, Soffian berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kamera litar tertutup di kawasan rumah tumpangan itu dan polis kini  menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan.

Menurutnya, lelaki warga emas yang mempunyai 19 rekod lampau berkaitan  jenayah serta dadah itu kini direman untuk siasatan lanjut.

Manakala mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu juga akan ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

Kes di siasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah.




Tag: warga Syria, siasatan, suspek, mangsa, jenayah, polis, tikam, rumah tumpangan, pergaduhan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.