TINDAKAN seorang wanita berpakaian pengantin menjalani penggambaran di sebuah tanah perkuburan Kristian mengundang perdebatan panjang dalam kalangan netizen sejak beberapa hari lalu.

Sebilangan besar netizen mengecam tindakan yang disifatkan tidak menghormati agama lain.

Ada juga pihak yang menggesa tindakan tegas diambil ke atas wanita berkenaan ekoran tidak sensitif pihak tersebut.

Berhubung kontroversi itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tidak terlepas ditanya pandangan beliau dari perpsektif agama.

Dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli menjelaskan panjang lebar mengenai persoalan berkenaan dalam ruangan Irsyad Fatwa Umum.

Tegas Dr Zulkfili, perbuatan mengambil gambar perkahwinan di perkuburan orang Kristian dengan alasan suka-suka dan inginkan kelainan merupakan perbuatan yang tidak dibenarkan dan boleh mengundang fitnah.

Bahkan, jelas beliau, perbuatan sedemikian bercanggah dengan nas yang memerintahkan umat Islam untuk menghormati perkuburan dan mayat sekalipun yang bukan Islam.

Pandangan beliau adalah berdasarkan surah Al-Isra' ayat 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

Dalam jawapan yang sama, Dr Zulkfili menerangkan, Imam Jalaluddin Al-Suyuti dan Imam Jalaluddin Al-Mahalli turu menyebut bahawa tidak boleh dihinakan mahupun dikotori mayat mereka. (Rujuk Tafsir Al-Jalalain, 5/108)

"Kami melihat perbuatan mengambil gambar perkahwinan di atas perkuburan bukan muslim dengan pelbagai gaya adalah satu perbuatan yang boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap mayat-mayat bahkan perbuatannya itu boleh menyinggung perasaan waris si mati," terang Dr Zulkfili lagi.

Menurut Dr Zulkifli, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Mematahkan tulang mayat adalah seperti mematahkannya ketika hidup.” - Riwayat Abu Daud (3207), Ibnu Majah (1616)

Dr Zulkifli turut memetik kenyataan Maulana Sheikh Syamsul Haq ‘Azim Abadi yang menukilkan pandangan AL-Tibi berkenaan hadis tersebut.

Al-Tibi berkata, tidak boleh untuk menghina mayat dengan cara apa sekalipun.

Penghinaan terhadap mayat adalah seperti menghina ketika dia masih hidup.” (Rujuk ‘Aun Al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 14/27).

Sehubungan itu, Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat, apa sahaja bentuk penghinaan terhadap mayat sama ada perbuatan atau percakapan maka tidak dibenarkan.

"Apatah lagi jika mengambil gambar dengan pelbagai gaya yang tidak sepatutnya dilakukan di tanah perkuburan.Ia juga boleh dianggap sebagai satu bentuk penghinaan.

Tambahan lagi, apa yang perlu diperhatikan adalah kesan dari setiap perbuatan yang kita lakukan.

Perbuatan tersebut, kata beliau, jika dilihat lebih jauh, boleh menimbulkan kemarahan penganut agama Kristian yang akhirnya nanti mereka akan melakukan perkara yang sama di perkuburan orang islam.

Perkara ini, ujarnya, boleh difahami menerusi firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan…”
(Surah Al-‘An’am : 108)

Dr Zulkifli berkata, apa yang dapat difahami ini ialah tidak dibenarkan untuk melakukan atau menyebut perkara yang menunjukkan penghinaan terhadap mereka.

Perbuatan tersebut akan mengundang kemarahan mereka dan melakukan perkara yang sama terhadap kita, kata beliau.

"Kita sedia maklum bahawa penganut Kristian mempunyai ritual atau upacara tertentu ketika menghadiri kematian atau menziarahi perkuburan.

"Ini adalah satu perkara yang perlu kita hormati sebagaimana kita memohon agar mereka menghormati agama Islam,' tambah Dr Zulkfili.

Dalam penjelasan itu, beliau merumuskan bahawa perbuatan mengambil gambar perkahwinan di tanah perkuburan orang Kristian seperti yang tular adalah tidak dibenarkan.

"Jangan kerana inginkan kelainan sehingga kita melakukan perkara yang boleh mengundang fitnah dan cerca orang ramai.

"Apatah lagi jika ianya dibuat untuk suka. Carilah tempat lain yang lebih sesuai. Perbuatan seumpama ini boleh menyebabkan islam dan penganutnya dipandang serong oleh penganut agama lain. Sekali gus menjauhkan mereka dari Islam," kata beliau lagi