Berhadapan gempa? Langkah ini mungkin penyelamat anda

Berhadapan gempa? Langkah ini mungkin penyelamat anda
MET MALAYSIA : Langkah-langkah yang diambil hanya boleh mengurangkan kesan bahaya terhadap gempa bumi. Penting bagi kita untuk saling bantu membantu antara satu sama lain apabila gegaran. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Berikutan gempa bumi sederhana bermagnitud 6.0 pada skala richter yang menggegarkan Sabah pada jam 7.15 pagi tadi telah mengakibatkan banyak kejadian runtuhan tanah berlaku selain turut menjejaskan beberapa kawasan bandar dan perumahan.

Sehingga jam dua petang Jumaat, Kementerian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin mengatakan sebanyak 15 gempa bumi susulan berskala lemah dapat dirasai penduduk di kawasan Ranau.

Pegawai Meteorologi Bahagian Khidmat Korporat dan Komersil Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Sherizan Darus berkata terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan kesan bahaya terhadap gempa bumi.
LIHAT ALBUM: GEMPA BUMI RANAU 

"Gempa bumi yang kuat boleh menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan. Langkah-langkah yang diambil hanya boleh mengurangkan kesan bahaya terhadap gempa bumi.

"Penting bagi kita untuk saling bantu membantu antara satu sama lain apabila gegaran berlaku," jelas beliau ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan kesan bahaya terhadap gempa bumi seperti yang disediakan oleh MetMalaysia:

A) SEMASA GEMPA BUMI

Jika anda di dalam bangunan :
  • Terus kekal berada di dalam bangunan. Berlindung di bawah meja yang kukuh atau tempatkan diri di ambang pintu atau satu sudut.
  • Jauhkan diri dari tingkap, rak buku, kabinet, cermin, pasu bunga yang bergantungan dan objek berat yang boleh menggelongsor atau terjatuh.
  • Lindungi kepala dan muka dari serpihan runtuhan dan kaca
  • Jangan menggunakan lilin, mancis atau sebarang bahan punca api yang lain kerana berkemungkinan kebocoran gas akan berlaku.  Padamkan semua sumber api.

Jika anda berada di dalam bangunan tinggi :
  • Jangan keluar secara tergesa-gesa.
  • Jangan gunakan lif kerana kemungkinan bekalan elektrik akan terputus.
  • Terus kekal berada di dalam bangunan di tingkat yang sama.

Jika anda di luar bangunan :
  • Bergerak ke kawasan terbuka. Jauhi diri dari talian kuasa, tiang elektrik, pokok, bangunan tinggi, dinding dan tiang lampu.
  • Jauhkan diri dari serpihan yang jatuh di luar pintu dan dinding sebelah luar.
  • Jauhkan diri dari talian elektrik yang jatuh.
  • Terus kekal berada di kawasan terbuka hingga gegaran berhenti.

Jika anda berada di laluan pejalan kaki berhampiran bangunan :
  • Berjalan masuk ke arah muka pintu untuk melindungi diri dari serpihan batu-bata, simen dan kaca yang jatuh.

Jika anda berada di dalam pasaraya yang sesak :
  •  Jangan bergerak keluar ke muka pintu secara tergesa-gesa.
  • Jauhkan diri daripada rak-rak yang mengandungi objek-objek yang berkemungkinan akan terjatuh.

Jika anda di dalam kereta yang bergerak :
  •  Berhentikan kereta dengan segera di kawasan yang dirasakan selamat. Jangan berhenti di atas atau bawah jambatan atau lingkaran atau rentangan kabel elektrik.
  • Terus kekal berada di dalam kereta hingga gegaran berhenti.

B) SELEPAS GEMPA BUMI

  • Dengar radio atau televisyen untuk mendapatkan maklumat kecemasan terkini. Jika bekalan elektrik terputus, gunakan radio berkuasa bateri.
  • Bertenang dan nilaikan situasi semasa. Bersedia sekiranya berlaku “gegaran susulan”.
  • Periksa kecederaan. Beri bantuan kecemasan apabila diperlukan. Jangan alihkan mangsa yang cedera parah kecuali mangsa terdedah kepada risiko kecederaan yang lebih teruk jika terus berada di tempat tersebut.
  • Periksa jika ada berlaku kebakaran. Padamkan api dengan segera jika anda mampu.
  • Jika terbau gas, buka tingkap dan tutup injap utama. Jangan nyalakan mancis atau api. Gunakan lampu suluh.
  • Jangan sentuh wayar elektrik atau objek-objek yang bersentuhan dengannya.
  • Periksa almari dan rak stor. Buka pintu dengan cermat dan waspada terhadap objek-objek yang mungkin akan terjatuh.
  • Periksa sistem saluran kumbahan dengan sempurna sebelum mengepam tandas.
  • Cuci dengan segera tumpahan ubat-ubatan dan bahan-bahan yang berbahaya.
  • Jangan makan atau minum sebarangan dengan menggunakan bekas-bekas  yang telah remuk.
  • Jangan gunakan telefon kecuali untuk membuat panggilan kecemasan (perubatan, kebakaran dan jenayah).
  • Keluar dari bangunan yang rosak teruk. Gegaran susulan boleh merobohkannya.
  • Bekerjasama dengan pihak keselamatan awam. Jangan masuk ke kawasan yang mengalami kerosakan kecuali untuk memberi bantuan. Kosongkan lorong-lorong untuk laluan kecemasan.
  • Tenangkan kanak-kanak yang mungkin mengalami trauma psikologi akibat gempa bumi.

BACA :
Barang terjatuh, dinding di berek polis di IPD Ranau Retak- Saksi
Gempa Sabah: Penduduk Ranau dinasihatkan berwaspada terhadap gegaran susulan
'Bagai ada tangan gergasi yang menggoncang katil' - warga Sabah