Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak menerima apa-apa aduan berhubung dakwaan beberapa penjawat awam berstatus kontrak, diberhentikan serta merta susulan peralihan kuasa oleh kerajaan baru.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, pihaknya tidak menerima aduan sama ada secara bertulis atau lisan dan enggan memberi komen mengenai dakwaan berkenaan.

"Setakat saya bermesyuarat petang inilah, kami tidak terima aduan jadi saya tidak boleh nak komen.

"Tiada satu individu yang tampil membuat aduan berkenaan dan kami di sini turut membaca perkara itu di media sosial," katanya yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Cuepacs Kelima di Wisma Cuepacs di ibu negara.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya ada aduan diterima, pihaknya akan mengkaji dan membuat semakan ke atas aduan tersebut.

Beliau juga tidak menafikan kemungkinan ada pekerja yang dilantik atas kapasiti politik, ditamatkan perkhidmatan susulan individu yang melantik mereka sudah tidak lagi berada dalam kerajaan baharu.

“Ada kakitangan yang berstatus Contract For Service, mereka dianggap sudah selesai berkhidmat selepas habis tempoh sesuatu projek, bukan ditamatkan perkhidmatan. Ini berbeza dengan mereka yang berstatus Contract Of Service.

“Kakitangan lantikan politik pula bukan di bawah Cuepacs dan adalah perkara biasa jika ditamatkan tugasan kerana peralihan kerajaan baharu.

“Apapun, saya yakin kerajaan pimpinan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengkhianati penjawat awam, jadi beri kepercayaan, ruang dan masa untuk mereka menjalankan tugas,” jelasnya lagi.