Tutup

Beri alasan nak jumpa kawan, tapi sebenarnya...

Beri alasan nak jumpa kawan, tapi sebenarnya...
Op Sarang yang dijalankan bermula pada jam 5 petang semalam dan berakhir 6 pagi tadi. - Foto Sinar Harian
BUTTERWORTH: ‘Saya mai ronda nak jumpa kawan ja encik,”. Itu antara helah seorang individu dipercayai penagih dadah sebaik ditahan polis dalam Op Sarang yang dijalankan di kawasan belukar Kampung Bakau Tua, tadi.

Suspek berusia awal 30-an yang menaiki motosikal itu mendakwa datang ke belukar tersebut untuk berbual bersama rakannya.

Namun ujian saringan yang dijalankan terhadapnya mendapati suspek positif dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Op Sarang yang dijalankan bermula pada jam 5 petang semalam dan berakhir 6 pagi tadi.
“Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seberang Perai Utara di lokasi kawasan belukar dipercayai menjadi sarang penagihan dadah.

“Seramai 30 individu terdiri daripada 29 lelaki dan seorang perempuan berumur 18 hingga 62 tahun, ditahan di mana kesemua mereka merupakan warga tempatan,” katanya.
Katanya, hasil serbuan turut menemukan beberapa paket dadah.

“Antara dadah dirampas seperti heroin, syabu, ganja dan eramin.

“Suspek dan barangan yang dirampas dibawa ke IPD Seberang Perai Utara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati dadah tersebut adalah untuk dijual dan dibekalkan di dalam sarang penagih ini.

“Nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,480," katanya.

Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin, methaphatamine dan benzo.