Golongan anak yatim dan asnaf tidak harus dipinggirkan dalam merasai kemeriahan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) tidak ketinggalan mengadakan program bagi meraikan golongan yang kurang berkemampuan tersebut sempena kedatangan Syawal tidak lama lagi.

Pengerusi MPP Zon 4 MDKL, Siti Nor Eaini Nasuka berkata, penganjuran program seumpama itu bertujuan membangkitkan kesedaran kepada mereka yang mampu untuk berkongsi rezeki serta kasih sayang dengan golongan sasar.

“Ia juga salah satu program yang boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat untuk membantu anak-anak ini. Diharap ia akan menjadi program yang berpanjangan dari masa ke masa.

"Apa tidaknya, mereka ini diraikan dalam bulan Ramadan dengan diberi peluang membeli-belah pakaian dan kelengkapan sempena Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

"Pelbagai aksi dan ragam dapat dilihat apabila kira-kira 100 orang anak-anak berumur lingkungan 6 hingga 12 tahun memilih pakaian dan kasut mengikut rona warna dan corak kesukaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Terdahulu, anak-anak yatim, asnaf dan muallaf Orang Asli dari Sekolah Rendah Agama Telok Panglima Garang dan KAFA Integrasi Kampung Melayu Pulau Carey diraikan dalam program membeli belah kelengkapan menjelang Aidilfitri.

Program tersebut anjuran bersama MDKL, Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM) dan Persatuan Asnaf, Usahawan, Wanita dan Ibu Tunggal Selangor (Pantas) di sebuah pusat membeli belah di Jenjarom.

Sementara itu, penaung Pantas, Shelliza Saharudin berkata, program seumpama itu menjadi platform bagi merapatkan jurang antara yang berada dan golongan yang memerlukan, agar tidak tersisih.

"Semua pihak berkenaan akan merasai erti kasih sayang dan saling memerlukan melalui program kebajikan, selain mereka dapat berbakti dalam membuat amalan kebajikan di bulan Ramadan," ujarnya.