Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu semua pihak memberi peluang kepada P Waytha Moorthy kerana menurutnya beliau masih baharu dalam pentadbiran kerajaan.

Ia susulan petisyen yang mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu meletak jawatan.

Malah, Dr Mahathir juga tidak melihat pegawai yang dipilih Waytha Moorthy sebagai satu isu yang perlu diperbesarkan.

“Bagi dia peluanglah, dia baru mula. Dia akan pilih orang yang dia mahu. Dia tidak akan lantik sesiapa yang dia tidak kenal. Kebanyakan orang yang dia kenal mungkin dari Hindraf atau komuniti India.

"Namun, penyatuan bermakna ada juga Iban, Kadazan dan Dusun,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian MAHA 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

Menurut perdana menteri, rakyat boleh mengemukakan petisyen namun perkara itu tidak boleh dianggap sebagai arahan.

"Rakyat boleh buat petisyen, tetapi petisyen itu bukan satu arahan untuk dia letak jawatan. Anda pun boleh buat petisyen minta saya berhenti jadi perdana menteri,” katanya lagi.

Jelasnya, semua orang mempunyai pelbagai latar belakang termasuk beliau sendiri yang pernah bersama UMNO.

“Kita semua ada latar belakang. Macam saya dulu daripada parti UMNO. Jadi takkan saya dulu UMNO saya tidak boleh masuk Pakatan Harapan. Dia (Waytha) masa itu amat kecewa dan mengeluarkan kenyataan yang cuba nak tunjuk kepada orang asing bahawa di Malaysia ini tidak ada keadilan.

"Tetapi itu pada masa itu, sekarang ini dia ada dalam kerajaan dan dia tidak lagi pegang kepada apa yang dia kata dulu," kata Dr Mahathir.

Tambahnya, jika dahulu beliau sendiri pernah dicerca dengan pelbagai gelaran dan kata-kata kesat, namun sekarang beliau masih dipilih menjadi pemimpin negara.

“Macam saya dengan gelaran 'Mahazalim' dan sekarang kita terima 'Mahazalim' jadi pemimpin. Jadi ada pertukaran mengikut masa,” ujarnya.

Waytha Moorthy sebelum ini menerima kecaman pelbagai pihak berhubung cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang disifatkan sebagai menentang semangat Perlembagaan Persekutuan.