MALAYSIA
Beri ruang PM jelaskan lantikan Latheefa Koya sebagai KP SPRM - Anwar

TPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sumbangan pada Jamuan Hari Raya Perdana Masjid Kubang Semang pada Khamis. Turut hadir, Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi ruang untuk memperjelaskan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (KP SPRM) baru-baru ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat keputusan untuk melantik Latheefa itu dibuat oleh Tun Mahathir dan beliau juga tidak dimaklumkan mengenai pelantikan itu sehingga pengumuman dibuat.
Katanya lagi, penjelasan itu perlu agar tidak timbul pelbagai dakwaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Sudah tentu satu penjelasan diperlukan, kerana perkara ini adalah apa yang kita janjikan, tapi kita perlu melalui forum yang teratur (untuk penjelasan), seperti (mesyuarat) Kabinet atau Majlis Kepimpinan Pakatan, jika kita mahu dapatkan penjelasan yang sebenar.
"Saya rasa perlu penjelasan diberikan kepada orang ramai berhubung isu itu, mengapa manifesto tidak diberi perhatian, tidak dihormati, walaupun saya rasa Latheefa mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk kedudukan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Perdana di Masjid Kubang Semang pada Khamis.
Sebelum ini timbul dakwaan mengatakan pelantikan Latheefa iaitu bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty sebagai KP SPRM tidak menepati manifesto PH yang melarang pelantikan dari kalangan ahli politik.
"Pendirian saya ialah, selepas kami bersetuju untuk memberi ruang dan sokongan kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau telah membuat keputusan dan kita hanya perlu menggunakan paltform yang sesuai untuk membincangkannya seperti Kabinet dan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menuntut penjelasan.
"Penjelasan yang sewajarnya diperlukan kerana itu yang kita janjikan dan kita tidak boleh dilihat membelakangi janji, walau bagaimanapun sebarang kesimpulan tidak harus dibuat sebelum mendengar penjelasan dari Perdana Menteri," tegas Anwar lagi.
Sementara itu, Anwar berkata perletakkan jawatan Latheefa sebagai Anggota PKR telah diterima oleh parti dan perkara itu tidak menimbul sebarang isu.
Susulan itu, beliau melepaskan keahlian dalam PKR berkuatkuasa serta merta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami