Tutup

Berikan BR1M tetapi ketatkan syaratnya - Madeline

Berikan BR1M tetapi ketatkan syaratnya - Madeline
MADELINE: BR1M 'okay' untuk jangka masa pendek, tetapi untuk jangka panjang, kita perlukan sesuatu yang lebih 'sustainable'. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemberian bantuan tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlukan dikenakan syarat yang lebih ketat supaya ia dapat membantu memperkasakan ekonomi golongan sasarnya.

Setakat ini, hanya pendapatan isi rumah yang menjadi pra-syarat kelayakan untuk menerima bantuan BR1M yang kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup.

Menurut penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Madeline Berma, penerima BR1M perlu mengikuti kursus yang dapat meningkatkan kemahiran mereka sebagai syarat kelayakan baru.

“Saya cadangkan penerima BR1M perlu disyaratkan untuk menyertai kursus yang memberdayakan mereka untuk menjana pendapatan.
"Kita perlu perkasakan rakyat dan jangan biarkan mereka hanya menunggu bantuan tunai,” ujar Madeline ketika ditemu bual dalam program Komen Pagi.

Beliau turut mengakui, bantuan tunai masih merupakan penyelesaian yang baik untuk masyarakat berpendapatan rendah berbanding bantuan kupon makanan yang diamalkan di sesetengah negara.

 
“Di Amerika Syarikat ada bantuan kupon makanan, itu salah satu cara bantuan. Tetapi, kami ada buat kajian.

"Apabila ditanyakan kepada golongan miskin, mereka mahukan bantuan tunai atau bantuan makanan, mereka akan pilih ‘cash’ sebab mereka boleh menggunakan duit tunai ini untuk keperluan yang mereka tentukan.

"Kalau bantuan makanan, yang kita khuatir, jenis makanan itu akan hanya sesuai untuk golongan tertentu sahaja,” katanya.

“Selalu ada pandangan yang bertentangan. Jika kita beri BR1M, orang itu akan malas, tidak mahu bekerja dan bergantung sahaja pada BR1M.

"Tetapi ada kajian Bank Dunia di negara miskin yang mendapati, pemberian tunai dapat memberikan bantuan sedikit untuk mereka memperbaiki kehidupan,” tambah Madeline.

Pada Ahad, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata BR1M harus dihapuskan untuk elak sogokan tunai untuk mendapat sokongan politik.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini ada mengatakan bahawa jumlah pemberian BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan.