Golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal akan menerima bantuan sekali beri atau 'one-off' sebanyak RM300 bagi meringankan beban golongan tersebut berdepan impak COVID-19.

Bantuan kewangan tersebut akan disalurkan selewat-lewatnya sebelum Aidiladha.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan kumpulan sasar termasuk kumpulan tersebut.

"Sehubugan itu lebih 300,000 OKU dan ibu tunggal yang tersenarai dalam rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) layak menerima bantuan 'one-off' sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban mereka.

"Bayaran ini Insya-Allah akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha," kata beliau dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan turut akan memperuntukan geran kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.