Jabatan Perdana Menteri hari ini mengesahkan dakwaan yang tersebar kononnya Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan sejumlah AS$1 bilion (RM3.952 bilion) kepada kerajaan Malaysia untuk memulihkan ekonomi adalah tidak benar.

Perkara itu disahkan oleh seorang jurucakap Jabatan Perdana Menteri menerusi satu mesej kepada Astro AWANI, sebentar tadi.

“Ini adalah berita palsu tetapi kami akan dapatkan bantuan Kementerian Luar untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan perkara viral ini,” ujar beliau.

Viral di media sosial sejak malam tadi ialah kenyataan yang mendakwa Sultan Hassanal memberi sumbangan AS$1 bilion kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dalam satu pertemuan semalam.

Semalam, Sultan Brunei diiringi anakandanya Putera Abdul Mateen Hassanal Bolkiah melawat Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Pertemuan kedua-dua pemimpin berlangsung sejurus selepas Dr Mahathir mempengerusikan mesyurat bersama Ketua Setiausaha kesemua Kementerian bagi menerangkan fungsi dan peranan kerajaan baru.