Dakwaan bahawa terdapat kanak-kanak yang diculik dan organ mereka diambil untuk dijual di dalam negara atau di luar negara seperti yang tersebar luas di laman sosial sejak akhir-akhir ini merupakan khabar angin semata-mata untuk menakutkan orang ramai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana orang perseorangan atau pihak tertentu yang menyebarkan berita-berita yang boleh menimbulkan keresahan dan ketakutan kepada orang ramai.

Beliau berkata risikan yang dijalankan juga mengesahkan tiada maklumat diperolehi dari dalam atau luar negara berkaitan sindiket penjualan atau pembelian organ oleh mana-mana pihak di negara ini.

“Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa proses perolehan organ melibatkan prosedur klinikal yang perlu dijalankan dengan penuh teliti mengikut garis panduan tertentu dan dilakukan dengan penuh terhormat, tidak seperti yang digambarkan di dalam berita-berita yang disebarkan di media sosial.

“Proses perolehan dan pemindahan organ melibatkan prosedur pembedahan yang kompleks dan ia memerlukan penglibatan sepasukan pakar perubatan yang berkemahiran tinggi mengikut bidang kepakaran masing-masing.

“Ia juga melibatkan perkhidmatan sokongan yang lain seperti makmal dan bank darah,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawan soalan dari Senator Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah yang ingin tahu tentang kesahihan berita yang tersebar luas itu.

Wan Junaidi menjelaskan bahawa pembedahan yang dijalankan juga dibuat dalam keadaan terkawal mengikut amalan yang dijalankan di peringkat antarabangsa dan prosedur yang sama adalah digunapakai di mana-mana negara di dunia.

Beliau menegaskan anatara langkah yang telah diambil bagi menangani masalah penculikan ialah meningkatkan kerjasama antara agensi bagi memastikan kes penculikan dapat di tangani secara menyeluruh dan mewujudkan talian khas Nur Kasih sebagai kemudahan membuat laporan.

“Risikan turut dijalankan bagi mengenalpasti individu dan sindiket yang dipercayai melakukan jenayah culik,” katanya.

Wan Junaidi turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sebarang bentuk khabar angin atau menyebarkan perkara yang tidak benar di media sosial.