Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung penglibatannya dalam perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis juga akan menyiasat kenyataan-kenyataan yang dibuat Dr Mahathir semasa perhimpunan itu, selain menghadiri perhimpunan tersebut.

"Kita akan panggil beliau... beliau telah membuat ucapan dan pelbagai tuduhan, kita pun nak tahu lebih lanjut apa maksud beliau, dari mana maklumat itu diperoleh.

"Contohnya kenyataan Tun katanya Ketua-ketua Bahagian UMNO telah dirasuah, jadi kita hendak tahu lebih lanjut... harap dia beri kerjasama," katanya semasa sidang media selepas perasmian Majlis Sambutan Peringatan Hari Pasukan Polis Marin ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, di Pelabuhan Klang hari ini.

Selain Dr Mahathir, polis menumpukan siasatan ke atas penganjur-penganjur dan orang kenamaan lain yang terlibat dalam Bersih 4.0 baru-baru ini.

Mengulas mengenai individu yang mula dipanggil ke Bukit Aman hari ini, ini jawapan beliau:

"Berani buat, berani tanggung. Sekarang sudah mula marah kita (polis). Saya sudah cakap hari itu jangan marah, sedialah hadapi undang-undang. Jadi beri kerjasama kepada kita (polis)," katanya.

Semasa Bersih 4.0 hujung minggu lalu, Dr Mahathir membuat kemunculan dua kali dalam perhimpunan itu.

Bekas Perdana Menteri itu turut diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

BACA: Tun Mahathir dan isteri hadiri Bersih 4

BACA: Bersih 4: Tun Mahathir 'jalan-jalan' di Pasar Seni