Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sedia menerima aduan daripada orang awam yang merasakan hak mereka untuk berhimpun sempena Bersih 5 esok dicabuli.

Menerusi satu kenyataan oleh pengerusinya Tan Sri Razali Ismail, beliau menegaskan bahawa berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA), semua rakyat Malaysia termasuklah penjawat awam, pelajar universiti, ahli akademik dan guru mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

“Adalah menyalahi Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan sekiranya hak kepada kebebasan berhimpun secara aman disekat melalui penguatkuasaan pemakaian pekeliling atau arahan Kerajaan, Universiti dan/atau Jabatan,” katanya.

Beliau turut berkata bahawa pihak polis dan berkuasa perlu memastikan bahawa tindakan peserta demonstrasi balas tidak bertukar menjadi intimidasi dan rusuhan.

BACA: Bersih 5: Lima perkara anda perlu tahu

“Pihak polis wajib memastikan semua rakyat Malaysia dapat menyuarakan dengan jelas pendirian dan pendapat mereka secara bertanggungjawab.

“SUHAKAM menyokong usaha polis terutamanya untuk menunjukkan penguatkuasaan undang-undang yang adil dan berdisiplin. Ini adalah ciri kematangan politik.

Dalam melaksanakan mandatnya, SUHAKAM akan memantau perhimpunan yang telah dirancang ini,” katanya.