Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengkaji keperluan bagi mengenakan Permit Import (AP) terhadap barangan yang kategorikan sebagai sensitif termasuk berus bulu babi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata pihaknya menerusi Halal Development Corporation (HDC) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menjalankan kajian bagi pelaksanaannya.

Menurut Ahmad, kerajaan memandang serius pendedahan media tempatan berhubung isu lambakan berus cat bulu babi yang dijual di premis perkakasan binaan dan pasarraya di seluruh negara.

“Kita bekerjasama dengan Jakim dalam Majlis Halal Malaysia. Perkara-perkara sebegini memang di bawah Majlis Halal Malaysia yang dipengerusikan YAB Timbalan Perdana Menteri tetapi dari segi AP itu elok kita buat kajian. Saya minta pegawai-pegawai MITI membuat kajian tentang kemungkinan mengenakan AP terhadap barang-barang yang sensitif,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di kilang RMK Timur Qaseh Sdn Bhd di Ajil, di sini hari ini.

Ahmad diminta mengulas saranan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan sebelum ini yang mendesak kerajaan mewujudkan AP khas bagi semua produk berasaskan babi susulan pembongkaran mengenai isu berkenaan.

Menurutnya lagi, apabila AP khas itu diwujudkan pengimport akan diwajibkan meletakkan label yang menjelaskan kandungan barangan termasuk mencetak imej haiwan pada setiap bungkusan bagi mengelak umat Islam menggunakannya.

Katanya, AP khas itu juga akan membolehkan kerajaan atau agensi terbabit mengawal kemasukan barangan terbabit serta mengenal pasti syarikat pembekal.