Beberapa hari lalu, kita terbaca berita tentang seorang remaja lelaki maut selepas sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam.

Insiden ini boleh dielakkan jika, penghuni-penghuni rumah pangsa atau pangsapuri mempunyai kesedaran tentang kepentingan hidup bermasyarakat dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan atau persatuan penduduk setempat.

Jika individu yang mencampak kerusi dari tingkat atas pangsapuri Seri Pantai mempunyai kesedaran hidup bermasyarakat yang tinggi dan mematuhi peraturan, insiden ini tidak akan berlaku.

Kerusi yang rosak sepatutnya dibawa ke bawah dan dibuang di tempat yang sepatutnya, tempat pengumpulan sampah misalnya, yang disediakan di setiap rumah flat atau pangsapuri tidak kira mewah, sederhana atau kos rendah.

BACA: Tragedi Blok 102: Kerusi 'maut' ada di tingkat 21 pada hari kejadian - Datuk mangsa

BACA: "Sebaik berpusing, otak dia jatuh dalam tangan saya" - Ibu mangsa

Buang sampah dari tingkat atas hingga terkena kereta di parkir terbuka atau seperti kejadian Selasa malam di PPR Seri Pantai berlaku kerana sikap penghuni itu sendiri selain pihak pengurusan yang tidak tegas dengan garis panduan yang ditetapkan.

Jika dibandingkan dengan Singapura yang lebih banyak pangsapuri, jarang sekali berlaku insiden seperti di PPR Seri Pantai.

Kenapa rakyat Singapura boleh mematuhi peraturan yang disediakan?

80 peratus rakyat Singapura tinggal di kawasan perumahan awam yang dibina oleh sebuah badan yang dikenali sebagai Housing Development Board (HDB). Mereka tinggal di flat HDB.

Manakala 20 peratus lagi tinggal di kawasan perumahan swasta, yang lebih mahal harganya.

Penghuni flat HDB perlu mematuhi garis panduan atau peraturan yang telah ditetapkan oleh HDB, antaranya peraturan untuk pindah masuk, peraturan memiliki binatang peliharaan seperti kucing dan anjing.

Flat HDB yang sentiasa bersih dan diuruskan dengan baik
Flat HDB sentiasa bersih kerana sikap penghuninya mematuhi peraturan yang ditetapkan selain mempunyai kesedaran hidup bermasyarakat yang tinggi. - Gambar hiasan

Pihak HDB juga menetapkan garis panduan hidup kejiranan kepada semua penghuni perumahan awam seperti adanya peraturan agar tidak membuat bising antara pukul 10.30 malam hingga 7 pagi.

Selain itu terdapat larangan agar tidak meletakkan objek dalam situasi yang membahayakan seperti pasu bunga di tepi tingkap, jangan menyimpan barang-barang yang mudah terbakar atau buang barang-barang terbakar mengikut pelongsor sampah.

Setiap rumah disediakan pelonsor sampah, penghuni tidak perlu membawa keluar sampah ke tempat pembuangan sebaiknya sampah dibuang menerusi pelongsor.

Tempat pembuangan sampah di pangsapuri yang tidak diurus dengan baik.
Contoh tempat pembuangan sampah di kawasan pangsapuri yang tidak digunakan dengan betul - Gambar hiasan

Banyak lagi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan kepada semua penghuni flat HDB tidak mengira agama atau bangsa.

Jika ada yang tidak mematuhi, denda dikenakan dan pihak berwajib tidak bertolak ansur untuk mengambil tindakan.

Penghuni PPR atau apa sahaja nama perumahan rakyat boleh juga mencontohi sikap dan budaya hidup di flat HDB.

Pihak berwajib di Malaysia juga boleh mengambil contoh sikap tegas pengurusan HDB yang tegas dalam memastikan garis panduan atau peraturan yang ditetapkan dipatuhi.