Keputusan sama ada untuk melaksanakan cadangan tujuh hari cuti paterniti (cuti bersalin untuk suami menjaga isteri) bagi syarikat swasta hanya akan ditentukan Kabinet selepas mengadakan perbincangan tidak lama lagi, ujar Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Ketika ini katanya, beliau banyak menerima pelbagai pandangan dari pihak berkepentingan termasuk Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang mahu cuti paterniti hanya selama tiga hari.

Bagaimanapun, jelasnya, perkara dibangkitkan MEF adalah hanya pandangan pertubuhan itu.

“Biarkan Kabinet putuskan. Saya adalah salah seorang anggota jemaah menteri. Kita akan dengar keputusan Kabinet. Tidak mengapa itu pandangan MEF, kita telah dengar pandangan itu. Ada pandangan lain yang kata perlukan lebih dari 7 hari, ada yang kata mahu sebulan,” katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi PERKESO ke-19 di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai kebimbangan pelaksanaan cuti paterniti tujuh hari akan membebankan majikan, Kula berkata cadangan berkenaan sebenarnya dalam usaha mewujudkan kesejahteraan kepada sesebuah keluarga.

“Semua yang kita buat dalam dunia ini (boleh) membebankan dari satu sektor ke sektor. Seperti apa yang dikatakan semalam, ia memberi kegembiraan, kualiti kehidupan keluarga, ini semua tidak pentingkah? Itu penting bukan? Di peringkat Kerajaan diberikan tujuh hari cuti paterniti,” ujarnya lagi.

Pada Rabu, MEF hanya bersetuju cuti paterniti selama tiga hari untuk suami yang bekerja di sektor swasta dan bukan tujuh hari seperti yang dicadangkan kerajaan.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat terbaharu bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kerajaan Isnin lalu.

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini bercadang membentangkan permohonan cuti paterniti tujuh hari untuk sektor swasta kepada Kabinet pada akhir tahun ini.