Tutup

'Biarlah duduk di bandaraya pesara, janji kena ada usaha'

'Biarlah duduk di bandaraya pesara, janji kena ada usaha'
Azrol Nizam Muktar berkata tidak wujud isu golongan muda terpinggir di Ipoh lantaran ia menjadi hab kepada mereka yang memilih untuk menetap di bandaraya ini selepas puluhan tahun mencari nafkah di kota raya utama seluruh negara. - Foto Astro AWANI
IPOH: Berjaya mengekalkan ciri-ciri bandar kecil, rawatan kesihatan bertaraf dunia dan infrastruktur moden tanpa kesesakan dan bangunan pencakar langit.

Itu menjadikan Ipoh sebuah bandaraya dengan kepadatan penduduk lebih 700,000 orang diiktiraf sebagai destinasi persaraan di peringkat global.
Malah, pengiktirafan itu diberi kerana ia mampu menyediakan kualiti hidup yang tinggi, udara yang nyaman, air yang bersih, gaya hidup yang santai dan yang paling penting kos sara hidup yang rendah. Semua ini merupakan elemen yang meningkatkan kualiti hidup.

Namun, menjadi tanda tanya, adakah golongan muda yang tinggal di bandaraya berkonsepkan bersih, hijau dan maju ini setanding dengan belia yang tinggal di bandaraya pesat yang lain.
Astro AWANI menemui Pengasas Eroll Barber Shop, Azrol Nizam Muktar yang telah menjalankan kedai gunting rambut berkonsep 'hipster' sejak 10 tahun lalu.

Ujarnya, tidak wujud isu golongan muda terpinggir di Ipoh lantaran ia menjadi hab kepada mereka yang memilih untuk menetap di bandaraya ini selepas puluhan tahun mencari nafkah di kota raya utama seluruh negara.

Bagaimanapun, dia akui pelbagai cabaran didepani pemimpin akan datang untuk menghidupkan Ipoh dalam konteks memenuhi kehendak golongan muda.

"Tidak kira siapa pemimpin akan datang, mereka perlu memperbanyakkan program untuk belia kerana kerajaan sepatutnya melaksanakan satu program yang memenuhi minat golongan muda.

"Selain itu, perlu wujudkan latihan kemahiran jangka masa pendek kerana mereka (golongan muda) tidak akan mempersiakannya apabila mereka mempunyai sesuatu kemahiran yang diminati.

"Penyaluran atau hebahan maklumat seperti bantuan atau pinjaman dana selain latihan kemahiran perlu dibuat dengan lebih efisyen," katanya yang telah berjaya melahirkan hampir 100 usahawan muda di negara ini melalui perkhidmatan menggunting rambut.

Menurutnya, masih ramai golongan muda yang tidak tahu bantuan yang disediakan agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mampu melonjak perniagaan seseorang.

"Seperti di Ipoh, terdapat banyak kafe berkonsep hipster yang dikendalikan oleh golongan muda. Malah, ada yang dari Kuala Lumpur memilih untuk berhijrah balik ke Ipoh semata-mata untuk membuka perniagaan kafe.

"Ini menunjukkan yang Ipoh dan Perak secara amnya mempunyai potensi yang luas kepada golongan muda dan tidak semestinya perlu berhijrah ke luar seperti di Kuala Lumpur.

"Bayangkan, ada orang yang sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Ipoh semata-mata untuk makan pagi di bandaraya ini," tambahnya.

Justeru, beliau yang mesra dipanggil Eroll menasihati golongan muda untuk tidak rasa tertekan dengan pengiktirafan dunia terhadap Ipoh yang menjadi antara destinasi persaraan.

Sebaliknya, mengambilnya sebagai satu potensi dalam mengembangkan perniagaan, keluar dari kepompong zon selesa dan meningkatkan taraf ekonomi belia.

"Memang betul di Kuala Lumpur terdapat pelbagai sumber tetapi banyak pengaruh di luar sana yang boleh menyebabkan seseorang itu hanyut.

"Ingatlah, tidak kira di Kuala Lumpur, Ipoh mahupun Kuala Kangsar sekalipun, jika golongan muda ini mempunyai minat, bakat dan kemahiran, isu lesu dikelompok pesara tidak akan timbul," tambahnya.