Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menetapkan 23 hari bermula 26 Mac depan untuk perbicaraan kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat ketetapan tersebut, selepas dipersetujui oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Masri Mohd. Daud dan kedua-dua peguam bela kepada tertuduh.

Tarikh perbicaraan ditetapkan bermula 26 hingga 30 Mac, 9 hingga 12 April, 23-27 April, 7 hingga 10 Mei dan 21 Mei hingga 25 Mei.

Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud memberitahu, pihaknya akan memanggil 40 orang saksi apabila perbicaraan kes tersebut bermula.

Masri turut memberitahu pihaknya juga berhasrat mengemukakan pindaan kecil dalam pertuduhan tersebut, namun ianya ditangguhkan pada hari perbicaraan iaitu 26 Mac nanti berikutan kedua-dua tertuduh tidak hadir pada hari ini.

Bagaimanapun katanya pindaan itu hanyalah pindaan kecil dan masih di bawah seksyen sama iaitu Seksyen 62 (Akta SPRM).

Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo dan RSN Rayer, manakala Phang diwakili V Sithambaram dan Rueben Kumar.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan pada 14 Disember tahun lalu memutuskan Guan Eng dan Li Koon perlu mengemukakan pernyataan pembelaan sebelum perbicaraan kes rasuah dihadapi mereka bermula.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 62 Akta SPRM yang menyatakan orang kena tuduh perlu mengemukakan pernyataan pembelaan sebelum bermulanya perbicaraan, adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng, 57, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Georgetown di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu beliau didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.