Tutup

Bidang kemahiran buka peluang cipta dan inovasi produk

Bidang kemahiran buka peluang cipta dan inovasi produk
Kejayaan Malaysia di WSC 2019 membuktikan bahawa aliran pendidikan TVET kini satu aliran yang bertaraf dunia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) menggalakkan penghasilan inovasi produk sedia ada serta menghasilkan ciptaan produk baru untuk pasaran.

Selain itu bidang kemahiran ini juga, menjamin pilihan kerjaya yang luas kepada seseorang dan memperbanyakkan tenaga-tenaga mahir buat Malaysia.
Bagi pemenang Gangsa Junior Skills Kejohanan Kemahiran Dunia (WSC2019) kategori Operasi Dron, Aiman Afiq Suradi, pendidikan TVET tidak bermakna hanya bekerja sendiri, tetapi bidang ini boleh mencetuskan keupayaan membina dan mereka cipta barangan baru.

"Operasi drone termasuk dalam koding juga, untuk melakukan arahan-arahan tertentu ke atas dron misalnya perlu mahir dalam bidang pengaturcaraan.
“Bagi saya, pengoperasian dron untuk TVET ini adalah kemahiran di mana kita boleh menghasilkan produk kita sendiri sekiranya kita tidak bekerja dengan orang dan kemahiran itu juga kita boleh gunakan untuk buat produk kita sendiri,” katanya.


Manakala, bagi pelajar Giatmara, Hanafi Osman yang memenangi pingat ‘Best Of Nation’ (kategori fesyen teknologi), perkara utama dalam bidang kemahiran adalah perlu ada minat dan rasa ingin tahu mendalami jurusan yang diambil.

"Kena berani nak mencuba, ia umpama benda baru dalam diri dan kita kena biasakan diri. Bila belajar jadikan ia sebagai minat dan perlu ikhlaskan hati baru apa yang kita belajar itu mencapai kejayaan yang diingini,” katanya dalam memberi nasihat kepada mereka yang baru menceburi bidang kemahiran.

Mereka berdua berkata demikian ketika dijemput ke Awani Pagi pada Jumaat.

Kejayaan dua anak muda ini di Kejohanan Kemahiran Dunia 2019 (WSC 2019) membuktikan bahawa aliran pendidikan TVET kini satu aliran yang bertaraf dunia serta selari dengan permintaan dalam pasaran kerja kini dan masa hadapan.

Kontinjen Malaysia membawa pulang sembilan pingat Medallion Of Excellence di WSC2019 yang berlangsung di Kazan, Rusia pada 22 hingga 27 Ogos lalu.

Seramai 24 peserta negara yang telah menunjukkkan prestasi cemerlang dalam 19 acara bidang kemahiran yang dipertandingkan.