Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Bil air dua bulan sekali melalui pos - Air Selangor

Bil air dua bulan sekali melalui pos - Air Selangor
Air Selangor juga menggalakkan pelanggan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di telefon pintar menerusi App Store atau Google Play. Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Bermula 1 Julai, pelanggan domestik di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang tidak mendaftar untuk e-bil Air Selangor akan menerima bil air bulanan setiap dua bulan melalui pos.

Dalam kenyataan hari ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pelanggan akan menerima bil bulanan semasa mereka yang disatukan dengan bil bulanan sebelumnya dalam satu bil.
Tarikh akhir pembayaran bil bagi pelanggan domestik yang tidak mendaftar e-bil adalah 30 hari dari tarikh bil air bulan kedua dikeluarkan, katanya.

"Praktis ini hanya untuk pelanggan domestik sahaja. Bagi pelanggan selain domestik pula, mereka akan menerima bil air setiap bulan seperti biasa, manakala pelanggan yang telah mendaftar e-bil iaitu menerima bil air melalui e-mel atau aplikasi Whatsapp pula akan menerima bil bulanan seperti biasa," katanya.
Menurut kenyataan itu, kaedah itu dilaksanakan bagi mengurangkan pelangganan kertas selaras dengan sokongan Air Selangor ke arah 'Go Green'.

Syarikat itu turut menyarankan pelanggan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masih belum memilih menerima e-bil Air Selangor untuk mendaftar e-Bil di https://update.airselangor.com dan memilih untuk menerima melalui e-mel atau WhatsApp.

Pelanggan yang ingin mendapat bil air melalui WhatsApp perlu memastikan nombor telefon yang didaftarkan adalah betul dan boleh menerima mesej menerusi aplikasi berkenaan.

Air Selangor juga menggalakkan pelanggan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di telefon pintar menerusi App Store atau Google Play untuk maklumat semasa bekalan air atau semakan bil air.

Untuk maklumat lanjut dan bantuan mengenai bekalan air, pelanggan boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300, WhatsApp ke 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) serta laman sesawang Air Selangor (www.airselangor.com).

-- BERNAMA