Pakatan Harapan (PH) perlu segera menyelesaikan apa sahaja perbincangan mereka berkaitan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, PH sendiri hari ini sudah menjadi kerajaan dan isu yang tidak diselesaikan termasuk siasatan Beng Hock seharusnya dipercepatkan.

“Saya masih ingat bagaimana DAP dan pemimpin-pemimpin PH yang telah menggunakan isu ini untuk meraih simpati dan membangkitkan keresahan rakyat seolah-olah kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu tidak berlaku adil terhadap kes ini

“Perkara ini harus diperjelaskan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya. Saya mengikuti rapat kes ini sehingga ke mahkamah rayuan.

“Mengapa tidak dipanggil semula 10 saksi yang saya percaya masih berkhidmat dengan SPRM? Mereka juga boleh memanggil semula koroner (hakim) yang dilantik kerajaan pada ketika itu untuk memberi keterangan semula. DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini,” katanya ketika ditemui di sini, pada Khamis.

Pada Jun 2018 Kabinet bersetuju membuka semula siasatan kes kematian Beng Hock.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada masa itu berkata, keputusan itu dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Jemaah Menteri yang hadir dalam mesyuarat Kabinet berkenaan.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan Peguam Negara yang mengendalikan terma perundangan dan ia akan diumumkan kemudian.

Dalam pada itu kata Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat, kelewatan itu sekali gus memperlihatkan kepada rakyat secara umum bahawa ia merupakan satu lagi ketidakupayaan PH untuk melaksanakan amanah rakyat.

“Kalau benar apa yang mereka laungkan selama ini untuk memperjuangkan keadilan Beng Hock, mereka benar-benar boleh lakukannya sekarang.

“Saya mempersoalkan keikhlasan mereka kepada rakyat. Keluarga arwah Beng Hock dan rakyat yang menyokong DAP harus menilai semula sokongan dan harapan yang diletakkan kepada mereka.

“Jika kerajaan dahulu dituduh gagal menegakkan kebenaran, mereka bebas untuk menilai semula apa yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu sama ada ia mencukupi atau tidak,” jelasnya.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14, bangunan sama.

Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan menolak keputusan terbuka yang dibuat koroner berhubung kematian Beng Hock, sebaliknya memutuskan Beng Hock mati selepas jatuh dari bangunan yang disebabkan tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM.

Susulan itu, SPRM bersetuju membayar saman RM600,000 kepada keluarga Beng Hock.

Mahkamah juga mengarahkan polis menyiasat kematian berkenaan.

Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara memutuskan bahawa tiada unsur jenayah dalam kematian Beng Hock.