Tutup

'Bila saya melukis, saya lukis semua orang' - Lat

'Bila saya melukis, saya lukis semua orang' - Lat
Peminat tidak melepaskan peluang mendapatkan tandatangan Lat pada buku dan barang-barang cenderahati bertemakan kartun 'Budak Kampung' di Balai Seni Negara awal bulan ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Nama Lat sinonim dengan dunia kartun negara ini dan beliau juga ikon keharmonian kaum di Malaysia kerana banyak menghasilkan lukisan bertemakan cara hidup masyarakat tempatan.

Lat atau nama penuhnya, Datuk Mohammad Nor Khalid lahir enam tahun sebelum merdeka. Sepanjang kehidupannya, sejak zaman kanak-kanak lagi, beliau melihat sendiri bagaimana membangunnya sebuah negara merdeka bermula dari sudut pandang orang kampung.

Mula melukis secara serius sejak di bangku sekolah, Lat melukis siri kartun 'Keluarga Si Mamat' ketika di tingkatan empat yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian.

Dalam masa yang sama, beliau menyumbang kartun lukisannya kepada akhbar Berita Minggu, majalah Pemimpin dan Dewan Pelajar.

Unsur 'Malaysiana' menjadi tunjang kepada setiap kartun lukisan Lat. Daripada keadaan masyarakat kampung berbilang kaum sehinggalah kepada kehidupan kota dengan ragam manusia yang pelbagai semuanya diabadikan dalam bentuk lukisan.

Maka tidak hairanlah sekiranya karya beliau tetap menjadi kegemaran rakyat Malaysia sekali pun sudah bersara daripada bidang kartun sejak beberapa tahun lalu. Dorongan watak ciptaan beliau seperti Mat, Puan Hew, Opah, Ana, Yap dan Yah masih dapat dilihat pada poster terutamanya bila tiba tahun baharu dan musim perayaan.

LUKIS SEMUA ORANG

Bagi Lat, penting untuk beliau memasukkan elemen kepelbagaian kaum di Malaysia dalam karyanya. Ia adalah satu cara mendidik masyarakat secara santai tentang keindahan di sebalik perbezaan kaum dan agama.

"Apabila saya melukis, saya lukis semua orang. Semua orang bermaksud semua kaum di Malaysia. Semua rakyat Malaysia dan semua peringkat umur daripada kanak-kanak sehinggalah kepada warga emas kerana mereka membaca suratkhabar. Ketika itu suratkhabar di mercu kegemilangan," katanya.
Sewaktu berucap di acara sambutan 'Grip X Celebrates The Diversity of Malaysia with Lat' di Balai Seni Negara awal bulan ini, Lat menceritakan kisah dirinya apabila akhbar The Straits Times memberinya kebebasan untuk melukis apa sahaja bahan berasaskan budaya Malaysia. Beliau diberi ruang enam kotak selepas pihak akhbar itu melihat kebolehannya melukis untuk majalah Asia Magazine.


Lat kartunis ikonik yang disukai seluruh rakyat Malaysia dan Grip X turut berkongsi ciri sama dengannya


Untuk makluman, ruang enam kotak itu sebenarnya satu ruang yang besar untuk diisi setiap hari. Lat perlu mencari ide dan menyiapkan lukisan sebelum pukul tujuh petang setiap hari untuk dihantar kepada penyunting agar dapat dicetak untuk akhbar pada hari berikutnya.

"Ada kalanya jarum jam sudah menunjukkan pukul enam petang tapi saya masih belum ada ide untuk melukis. Saya bukan ada di pejabat pun. Saya ada dalam kereta, di Bangsar Lucky Garden. Ada nanti editor yang tunggu lukisan saya. Keadaan ini banyak kali berlaku tetapi saya tak panik," katanya.

Walaupun kedengaran seperti satu tugas yang susah, bagi Lat beliau tidak pernah kekeringan ide kerana ada banyak bahan berkaitan kaum, agama dan budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia yang boleh diabadikan dalam karya beliau.


Mohammad Nor (kiri) dan Andrew Woon menunjukkan tanda bagus di hadapan tiga lukisan yang dilukis Lat menggambarkan suasana perayaan tiga kaum utama di Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali ketika ditemui pada acara sambutan ‘Grip X Celebrates The Diversity of Malaysia with Lat' di Balai Seni Negara awal bulan ini. --fotoBERNAMA

LEBIH TERTARIK

"Kerana kita daripada pelbagai latar belakang, daripada suku-sakat yang berbeza, kaum yang berbeza, sebenarnya semua ini memang menarik.. lagi kita memahami antara satu sama lain, bertambahlah lagi kita nak tahu tentang mereka. Semua kerja saya di The New Straits Times bertumpu kepada soal memahami keadaan masyarakat seperti itu, " katanya.

Lat berpandangan seseorang itu perlu menunjukkan minat terhadap seseorang dan mengetahui latar belakangnya jika mahu orang itu melakukan yang sama. Tidak boleh satu pihak sahaja mempromosi kebudayaan mereka, sebaliknya pihak itu juga mesti belajar kebudayaan orang lain.
Beliau juga menegaskan proses mempelajari silang budaya perlu bermula dari usia muda.

"Bila anda sedar perbezaan antara kaum di negara ini sesuatu yang menarik? Masa usia belasan tahun. Masa itulah kita jadi tertarik dengan orang lain kerana wujud perbezaan antara kita. Masa itu juga untuk kita mula beramah mesra dan saling kenal mengenali. Buku saya Kampong Boy adalah mengenai masyarakat Melayu di sebuah kampung kecil tetapi untuk buku saya yang berikutnya Town Boy, ianya tentang Ipoh dan memaparkan kehidupan masyarakat bandar," katanya.


Ada kalanya jarum jam sudah menunjukkan pukul enam petang tapi saya masih belum ada ide untuk melukis


Beliau kemudiannya berkongsi kisah ketika kali pertama melukis kartun tentang budaya perkahwinan masyarakat Sikh pada tahun 1974. Bermula dengan rasa ingin tahu apabila melihat gambar perkahwinan pemilik kedai makan yang dikunjungi, Lat memberanikan diri bertanya di mana boleh beliau lihat sendiri upacara perkahwinan masyarakat itu agar beliau boleh membuat kartun tentangnya.

Walaupun pada peringkat awal permintaan beliau ditolak kerana risau Lat akan melukis sesuatu yang tidak disenangi, Lat tidak putus asa untuk memberi penjelasan tentang kerjaya beliau melukis sesuatu agar dapat difahami dengan senang oleh pelbagai bangsa.

Pada waktu itu karya dan nama beliau baru mula dikenali dan masih ada yang belum biasa dengan jenis kartun yang dilukisnya.

Akhirnya selepas bersusah-payah memberi penjelasan, pemilik kedai bersetuju memberitahu tentang upacara perkahwinan yang bakal berlangsung pada hujung minggu di Gurdwara Sahib Kampung Pandan.

"Memang tepat keputusan saya untuk melukis upacara perkahwinan itu kerana saya menghasikan banyak siri mengenainya dan orang pun suka. Ramai yang menelefon editor dan memuji lukisan saya dan mereka mahu lebih banyak lagi lukisan seperti.

IKON HARI KEBANGSAAN

Baru-baru ini Datuk Lat sekali lagi diberi penghargaan apabila pengeluar alat tulis terkemuka dunia, Faber-Castell memilih beliau sebagai ikon sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 bagi syarikat itu.

Beliau dan Faber-Castell bekerjasama dalam penghasilan tiga lukisan bertemakan sambutan perayaan terbesar negara iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali menggunakan pena mata bola 'Grip X'.

Berbanding pen lain keluaran syarikat ini, 'Grip X' mencipta sejarahnya yang tersendiri kerana ia direka di Malaysia, dikilangkan di Malaysia serta dieksport ke lebih 170 negara di seluruh dunia. Sejak 10 tahun lalu kira-kira 150 juta batang pen ini dijual.

"Sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, kami juga mahu mengenang tentang kepelbagaian Malaysia yang menjadikan Grip X satu kejayaan. Ia adalah pena buatan Malaysia yang dimiliki kebanyakan warga Malaysia, menjadikannya pena mata bulat paling digemari rakyat Malaysia.

"Lat adalah rakan ideal bagi sambutan ulang tahun ke-10 Grip X kerana beliau merupakan kartunis ikonik yang disukai seluruh rakyat Malaysia dan Grip X turut berkongsi ciri sama dengan Lat daripada segi populariti dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia adalah produk Malaysia yang sebenar dan menjadi alat yang digunakan untuk menzahirkan daya kreativiti," kata Andrew Woon, Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia.

-- BERNAMA