Tutup

Bilik kelas SMK Taman Keramat terbakar

Bilik kelas SMK Taman Keramat terbakar
Kebakaran melibatkan sebuah bilik kelas di SMK Taman Keramat yang digunakan untuk mata pelajaran Sains Rumah Tangga. Foto JBPM
AMPANG: Tidak tahu apa puncanya, sebuah kelas di tingkat satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat hangus dalam kejadian kebakaran malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 8.15 malam.

Menurutnya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dan BBP Pandan bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat.
Menurut komander operasi, kebakaran melibatkan sebuah bilik kelas yang digunakan untuk mata pelajaran Sains Rumah Tangga (SRT).

"Ruang berkeluasan 20 x 20 kaki persegi itu terbakar 100 peratus.

"Tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini," katanya.

Foto JBPM

Beliau berkata, anggota bomba berjaya mengawal api dari merebak ke bilik kelas bersebelahan.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.