Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan Barisan Nasional (BN) masih kekal mentadbir negeri itu dengan majoriti 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata setakat ini, Speaker DUN Terengganu Mohd Zubir Embong masih belum menerima secara rasmi surat yang memaklumkan tiga Adun BN itu mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat bebas.

"Perkara itu masih belum sahih...kita masih dalam keadaan stabil (17 kerusi), BN masih memerintah...apa yang berlaku ada yang tersirat dan akan menguatkan lagi kepimpinan kerajaan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memulakan tugas rasmi pertamanya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu dengan mengetip kad perakam waktu pada 7.43 pagi ini.

Ahmad Razif juga berkata beliau bersama kesemua 16 Adun BN Terengganu yang lain akan mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Ditanya sama ada tiga Adun terbabit turut serta dalam perjumpaan bersama Perdana Menteri itu, Ahmad Razif bagaimanapun berkata beliau tidak tahu dan secara peribadi, masih belum berjumpa dengan tiga Adun terbabit.

Awal pagi semalam, tiga Adun BN mengisytihar keluar daripada Umno untuk menjadi wakil rakyat bebas selepas pelantikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar baharu.

Tiga Adun berkenaan ialah bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said (Kijal), Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).

Bagaimanapun, Roslee menarik balik perisytiharan keluar Umno dan kembali menjadi wakil rakyat BN dan perkara itu disahkan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee.

Ditanya apa tindakan beliau dalam menangani kemelut politik di negeri itu, beliau menegaskan akan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin sekali gus menepis pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat untuk memastikan kelancaran pentadbiran di Terengganu berjalan seperti biasa.