Bot membawa lebih 216 dan satu mayat wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya dikesan di perairan negara awal pagi Isnin.

Menurut National Task Force (NTF) dalam satu kenyataan, berdasarkan siasatan awal, bot tersebut didapati sengaja dibocorkan sehingga menyebabkan kerosakan teruk serta tidak dapat dibaiki.

Ia selepas pasukan keselamatan menerima maklumat awal berhubung cubaan menceroboh perairan Langkawi oleh pelarian Rohingya sebelum dikesan enam jam kemudian.

Pada masa sama, 53 lagi PATI terjun ke laut dan berenang menuju ke pantai sebelum ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Ketika dipintas dan diperiksa Kapal Maritim (KM) Kimanis milik APMM di kawasan perairan Pulau Langkawi, jam 5 pagi Isnin, bot itu didapati mengalami kerosakan teruk serta tidak dapat dibaiki.

"Kerosakan dialami bot itu menyebabkan tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan dan KM Kimanis telah memberi bantuan berupa makanan dan air bersih secukupnya kepada PATI berkenaan.

"Atas dasar kemanusiaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kemudian membenarkan bot itu ditunda ke Jeti Teluk Ewa, Langkawi, dan kesemua 269 PATI kini ditahan serta diletakkan sementara di Kem Bina Negara, Wawasan Langkawi.

"Satu mayat wanita yang ditemui di dalam bot itu pula diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Pada masa sama, NTF yang melaksanakan Op Benteng secara bersepadu dengan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, dan agensi penguat kuasa keselamatan lain, memberi jaminan memastikan sempadan perairan dan daratan negara tidak dicerobohi oleh PATI atau anasir asing demi memelihara kedaulatan serta kesejahteraan negara.

Untuk rekod, setakat Ahad, seramai 396 PATI, 108 tekong dan 11 penyeludup ditahan, manakala 140 PATI, enam tekong dan 22 bot sudah diusir ketika cuba mencerobohi sempadan negara.

"Masyarakat digesa terus memberi kerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkenaan kegiatan anasir asing sama ada membabitkan PATI, penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF di talian 011-62511223," katanya.