Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa isu boikot bagi penghantar makanan, Foodpanda tidak pernah dimaklumkan kepada Kabinet.

Perdana Menteri menyifatkan pandangan dan pendirian yang dikemukakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian Kerajaan.

BACA: 'Keangkuhan bukan penyelesaian' - Syed Saddiq tegur Foodpanda

Malah, beliau yakin Syed Saddiq mempunyai alasan tersendiri mengeluarkan kenyataan terhadap polisi baharu syarikat itu.

“Itu pendapat dia, dia tidak bincang dalam Kabinet. Itu bukan pendirian Kerajaan.

"Mungkin dia ada sebab kenapa dia buat kenyataan itu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu menerusi akaun Twitter miliknya mengingatkan syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, Foodpanda supaya tidak angkuh.

Kenyataan itu susulan kenyataan Pengarah Urusan FoodPanda, Sayantan Das yang membayangkan syarikat itu tiada masalah dengan tindakan mogok terhadap skim pembayaran baharu mereka.